Dua lelaki lemas dalam dua kejadian di Kulim

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

ALOR SETAR - Remaja berusia 18 tahun antara dua lelaki yang ditemukan lemas ketika mandi-manda di dua pusat rekreasi di Kulim hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, remaja tersebut lemas ketika mandi bersama tiga lagi rakannya di Pusat Rekreasi Lata Arus Deras Lubuk Buluh dekat Sedim kira-kira jam 12 tengah hari.

"Mangsa bersama rakannya mandi di kawasan yang arusnya air sangat deras sebelum seorang daripada rakan mangsa tergelincir. Mangsa yang cuba menyelamatkan rakannya itu telah dibawa arus deras dan menyebabkan dia lemas.

"Orang ramai yang berada di kawasan tersebut berjaya membawa naik mangsa yang dijumpai tenggelam di dasar sungai, bagaimanapun mangsa telah disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Redzuan berkata, dalam kejadian kedua, seorang lelaki berusia 24 tahun lemas di Pusat Rekreasi Air Puteh, Junjong, di sini.

"Saksi memaklumkan mangsa bersama rakannya mandi di kawasan tersebut pada kira-kira jam 2.10 petang sebelum dipercayai lemas. Rakan mangsa cuba menyelamatkannya, bagaimanapun mangsa telah disahkan meninggal dunia.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat. Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. - Bernama