DAP tidak akan ganggu kedudukan Islam - Anthony

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Anthony
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Anthony
A
A
A

SHAH ALAM - DAP mengulangi pendirian bahawa mereka akan terus mempertahankan semua perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti tersebut tidak akan mempersoalkan keabsahan agama berkenaan di peringkat nasional.

Justeru Ahli Parlimen Seremban berkata, pendirian itu sekali gus menafikan tanggapan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa DAP cuba mengubah kedudukan Islam seperti yang telah termaktub dalam perlembagaan.

“Saya berasa amat kecewa dengan dakwaan Tun kononnya DAP akan mengugut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung hal ini.

“Apakah beliau sudah lupa bahawa semasa beliau menjadi Perdana Menteri dari Mei 2018 sehingga Februari 2020, beliau didokong oleh 42 Ahli Parlimen DAP?

“Adakah DAP pernah menarik sokongan daripada beliau atau mengugut kedudukannya? soalnya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Mahathir pada hari yang sama mendakwa parti tersebut mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum dengan agama rasmi digantikan kepada sekular.

Katanya, Anwar terpaksa menurut manifesto DAP supaya parti itu tidak menarik diri daripada kerajaan ketika ini.

Dalam pada itu, Anthony menambah, DAP tidak akan menyemai perkauman atau bermusuh-musuhan dengan kaum lain.

“Kita akan terus berkhidmat demi negara dan memainkan peranan untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu padu berasaskan prinsip-prinsip Rukun Negara,” tambah beliau.

ARTIKEL BERKAITAN:

https://www.sinarharian.com.my/article/266310/berita/politik/dap-mahu-jadikan-malaysia-negara-berbagai-kaum-sekular-tun-m

https://www.sinarharian.com.my/article/266357/berita/politik/syed-saddiq-bidas-kenyataan-tun-m