PRN: PH-BN dekati perantau Kelantan - Nik Nazmi

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

KOTA BHARU - Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memberi lebih tumpuan untuk mendekati perantau dan golongan muda dalam usaha memastikan kemenangan di negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kelantan dan Terengganu, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau akan turun padang bertemu kumpulan itu secara agresif untuk mendengar pandangan mereka.

Menurut beliau yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menggunakan pelbagai strategi termasuk pertemuan secara fizikal dan melalui pendekatan media sosial.

“Kita akan guna semua kaedah yang boleh membantu kita menang seperti bertemu dengan rakyat untuk mendengar pandangan mereka.

“Kita juga akan mendekati pengundi muda termasuk yang merantau di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor kerana jumlah mereka ramai,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja Projek Membina dan Menaik Taraf Sistem Saliran di negeri Kelantan di Taman Wadi Iman, Kok Lanas, di sini pada Isnin.

Nik Nazmi juga Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, kedua-dua golongan tersebut memainkan peranan penting dalam PRN kerana sebelum ini banyak memihak kepada kerajaan Pas.

“Mereka ramai menyokong Pas, tetapi kali ini kami yakin tentang beberapa isu yang memihak kepada kami dan dapat membantu PH serta BN di negeri Kelantan.

“Jadi, akan diadakan pertemuan dengan perantau dengan lebih kerap lagi,” ujar beliau.

Tambah Nik Nazmi, kerjasama antara jentera PH dan BN negeri juga berada dalam keadaan sangat baik dengan ketua-ketua bahagian masing-masing turun bersama-sama bagi tujuan menang PRN sekali gus menunjukkan prestasi terbaik Kerajaan Perpaduan.

“Kerjasama ini akan memberi saingan kepada kerajaan Pas dan tidak ada sebarang krisis seperti digembar-gemburkan sesetengah pihak.

“Selainnya, agenda reformasi tidak pernah berubah termasuk memberikan peranan besar kepada pembangkang seperti dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan usaha subsidi bersasar demi kepentingan rakyat,” jelas beliau.