Asrama sekolah terbakar, 30 pelajar terima bantuan RM100

Norlizah (dua dari kiri) meninjau keadaan blok asrama SMK Seri Kenangan yang terbakar pada awal pagi Ahad.
Norlizah (dua dari kiri) meninjau keadaan blok asrama SMK Seri Kenangan yang terbakar pada awal pagi Ahad.
A
A
A

SEGAMAT- Kerajaan Johor menyalurkan sumbangan sebanyak RM100 dan dua pasang pakaian sekolah kepada 30 pelajar Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan, di sini yang terbakar pada awal pagi Ahad.

Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh berkata, bantuan tersebut diberikan bagi meringankan beban pelajar, berikutan peralatan dan pakaian sekolah hangus dalam kebakaran itu.

"Sebahagian blok asrama lelaki terbakar. Syukur tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Setakat ini, semua penghuni asrama telah ditempatkan sementara di surau bagi tujuan keselesaan dan keselamatan pelajar.

"Pihak sekolah telah menghubungi ibubapa dan penjaga pelajar yang terlibat serta membenarkan anak-anak mereka pulang atau sebaliknya kerana sebahagian pakaian dan keperluan murid telah musnah terbakar," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Norlizah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD( Segamat bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dalam tindakan membuat anggaran kerosakan.

Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Elektrik telah dihubungi bagi melakukan pemeriksaan pendawaian.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 1.45 pagi pada Ahad, blok bangunan asrama setinggi dua tingkat itu di sekolah berkenaan terbakar 30 peratus namun tidak melibatkan kemalangan jiwa.