Aidiladha: 18 terkorban dalam nahas jalan raya

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 18 kemalangan maut direkodkan di seluruh negara pada Sabtu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, daripada jumlah itu, ia turut melibatkan kematian 18 individu.

"Polis merekodkan sebanyak 1,691 kes kemalangan direkodkan pada hari sama.

"Motosikal mencatatkan kemalangan maut tertinggi membabitkan 13 penunggang, tiga pemandu kereta, masing-masing seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda dan van," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan Op Lancar selama lima hari mula dilaksanakan bermula Rabu sehingga Ahad sempena perayaan Aidiladha.

Op Lancar berperanan bagi memantau dan mengambil tindakan penyuraian lalu lintas di semua persimpangan lampu isyarat atau persimpangan yang dijangkakan akan berlaku kesesakan yang melampau.

Sebelum itu, Mat Kasim turut memberitahu Sinar Harian bahawa JSPT telah menubuhkan Team Black Mamba yang berperanan untuk melancarkan aliran trafik di beberapa laluan utama.

Penubuhan pasukan itu rentetan sebagai usaha pihaknya dalam mengurangkan kesesakan sepanjang musim perayaan Aidiladha ini.

Polis turut memberi peringatan kepada pengguna jalan raya supaya sentiasa bekerjasama, berhemah, berhati-hati dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemanduan bagi mengelak kemalangan berlaku.