Amira Othman rindu kenangan tunai haji

Amira mengakui menyimpan hasrat untuk kembali menunaikan haji pada masa akan datang sekiranya diberikan peluang dan rezeki untuk berbuat demikian.
Amira mengakui menyimpan hasrat untuk kembali menunaikan haji pada masa akan datang sekiranya diberikan peluang dan rezeki untuk berbuat demikian.
A
A
A

BERPELUANG menunaikan Rukun Islam kelima pada 2019 meninggalkan 1001 kenangan manis buat penyanyi dan pelakon, Amira Othman.

Cerita Amira atau nama penuhnya Nadia Amira Othman, biarpun tawaran untuk mengerjakan ibadah haji itu datang lima hari sebelum berlepas ke Tanah Suci, namun segalanya dipermudahkan.

"Apa yang boleh saya katakan, perjalanan ibadah haji pada 2019 adalah sangat ajaib sebab saya diajak oleh Wany Hasrita, lima hari sebelum berlepas ke sana.

"Kalau ikutkan logik, rasa tak sempat nak buat persediaan dalam masa lima hari, tetapi inilah maksud 'kun faya kun' iaitu kalau ALLAH kata jadi, maka jadilah ia," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah wanita berusia 29 tahun itu, dia sendiri tidak pasti apa yang menjadi asbab buatnya mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka.

Kenangan ketika menunaikan ibadah haji pada tahun 2019 bersama rakan baiknya, Wany Hasrita.
Kenangan ketika menunaikan ibadah haji pada tahun 2019 bersama rakan baiknya, Wany Hasrita.

Namun pada masa sama, Amira sering mengamalkan doa yang pernah diajar oleh rakan selebriti, Neelofa.

"Kak Neelofa pernah ajar untuk doa supaya dikurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka. Seperti yang kita tahu, doa itu adalah senjata orang mukmin dan sangat kuat.

"Jadi saya anggap itulah rezeki yang tidak disangka dan tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila. Walaupun rasa diri penuh dosa dan tak layak, tetapi ALLAH Maha

Berkuasa dan kalau DIA mengizinkan, tiada apa yang mustahil," ujarnya yang tidak dapat melupakan kenangan merasa hujan lebat ketika wukuf di Arafah.

Berdasarkan segala pengalaman yang diperoleh, kakak kepada penyanyi Irfan Haris ini menggalakkan generasi muda untuk mengerjakan ibadah umrah atau haji pada usia muda.

"Kita tidak tahu bila kita akan dijemput, adakah kita berkeupayaan untuk beribadah dengan baik ketika sudah berusia. Jadi kalau ada rezeki lebih, saya galakkan generasi muda untuk ke Tanah Suci pada usia muda.

"Bukan nak kata dah tua tak sihat, tapi ketika muda kita lebih aktif dan berkemampuan untuk buat macam-macam. Kalau ada kelapangan masa, wang ringgit dan tenaga, pergilah tunaikan umrah atau haji. Selepas itu, baru gunakan duit yang ada untuk mengembara ke negara lain," jelasnya.

Korban

Dalam pada itu, ditanya mengenai sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban, Amira berkata, bukan mahu meninggi diri, sebaliknya dia sentiasa menanamkan dalam hati untuk menyertai ibadah korban sekiranya ada rezeki berbuat sedemikian.

Jelasnya, setelah mempelajari sirah mengenai ibadah korban, hatinya tertarik dengan kebaikan dan manfaat yang dijanjikan oleh ALLAH.

"Saya sentiasa tanam alam diri, kalau ada rezeki buatlah korban selagi ada usaha, kudrat, daya dan rezeki. Lagipun besar manfaatnya pada yang menyertai," katanya yang akan menyambut Aidiladha di kampung halaman di Johor Bahru.

Sementara itu, berkongsi perkembangan seninya, Amira berkata, dia akan merakamkan sebuah single baharu dalam masa terdekat setelah lama tidak berbuat demikian.

"Lama dah rasanya tidak lancar lagu baharu dan berlakon. Kalau ada rezeki memang nak kembali berlakon, tapi saya masih nantikan watak yang bersesuaian," katanya menutup perbualan.