Malaysia tangga keempat kurangkan kehilangan hutan

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia berada di tangga keempat dari 10 negara teratas dalam pengurangan kehilangan hutan utama setakat 2022.

Berdasarkan laporan World Resources Institute Global Forest Watch dan University of Maryland, secara keseluruhan, Malaysia mengurangkan kehilangan hutan utama sebanyak 57 peratus pada tahun lalu.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya mengalu-alukan perkembangan positif yang dinyatakan dalam laporan tersebut.

Menurutnya, pencapaian itu disebabkan oleh beberapa inisiatif termasuk penguatkuasaan lebih ketat, pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) disebar luas, Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) untuk inisiatif Pemuliharaan Biodiversiti yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini dan tindakan proaktif kerajaan negeri dalam melindungi hutan.

“Perlu diingatkan bahawa, semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada tahun 1992, Malaysia telah menyatakan komitmennya untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara supaya dilitupi pokok-pokok dan kawasan berhutan.

“Sehingga kini, Malaysia masih mengekalkan komitmen tersebut, kawasan berhutan adalah seluas 18.05 juta hektar atau 54.58 peratus daripada keluasan tanah negara,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Bagaimanapun, Nik Nazmi berkata, NRECC menyedari bahawa Malaysia tidak boleh leka dan perlu melakukan banyak lagi usaha untuk memastikan kehilangan hutan utama negara dihentikan sepenuhnya dalam masa terdekat.

Menurutnya, beberapa inisiatif akan terus dilaksanakan termasuk memperkasakan perundangan seperti Akta Perhutanan Negara 1984 selain meningkatkan usaha untuk mewartakan kawasan hutan termasuk di kawasan Central Forest Spine dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar.

Tambah beliau, NRECC juga meningkatkan peruntukan EFT pada 2023 kepada RM150 juta iaitu peningkatan sebanyak 150 peratus sejak pelaksanaannya pada 2019 dan pelbagai usaha lain.

“Kami mengalu-alukan semua pemegang taruh, termasuk kerajaan negeri, sektor swasta dan masyarakat sivil, bersama-sama NRECC untuk memperkasakan pengurusan dan pembangunan hutan serta mengekalkan kawasan hutan sedia ada demi kelestarian alam sekitar.

“Kami menggesa semua rakyat Malaysia untuk terus menyokong usaha kami dalam melindungi hutan sebagai salah satu sumber negara yang paling penting, untuk memastikan kita dapat mewariskan warisan yang paling berharga ini kepada anak-anak kita dan anak-anak mereka jua,” ujarnya.