Hari Raya Aidiladha disambut meriah seluruh negara

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah (tengah) berkenan berangkat menunaikan Solat Sunat Aidiladha di Masjid Sultan Azlan Shah Ipoh hari ini. - Foto Bernama
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah (tengah) berkenan berangkat menunaikan Solat Sunat Aidiladha di Masjid Sultan Azlan Shah Ipoh hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Raya Aidiladha di seluruh negara hari ini meriah dengan kebanyakan masjid dipenuhi umat Islam, termasuk pemimpin serta ketua negeri mahupun setempat, yang hadir seawal pukul 7 pagi, bersama bertakbir memuji kebesaran Tuhan dan menunaikan solat sunat Aidiladha.

Di ibu negara, ribuan umat Islam dalam kalangan warga tempatan mahupun warga asing menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara, dengan diimamkan oleh Imam Besar masjid berkenaan Ehsan Mohd Husni, yang kemudiannya menyampaikan khutbah bertajuk Nilai Pengorbanan.

Di TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bersama-sama anakanda baginda, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Muaz berkenan berangkat menunaikan solat sunat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini.

Di PERAK pula, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Sultan Azlan Shah (INTIM), Ipoh.

Sementara di KEDAH, Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff menunaikan solat sunat Aidiladha bersama jemaah lain di Masjid Zahir.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat ke Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, Kuala Pilah untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.

Di KELANTAN pula Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Muhammadi serta diiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Sementara di SELANGOR, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah pula berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bersama kira-kira 7,000 jemaah dan solat itu dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negeri, Muhammad Farhan Wijaya.

Di PERLIS, Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat ke Dataran Istiadat bagi menunaikan solat sunat Aidiladha serta bersama hampir 1,300 umat Islam

Di JOHOR, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim bersama adindanya Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru disertai kira-kira 1,000 jemaah untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.

Di MELAKA pula Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam menunaikan solat Aidiladha di Masjid Al-Azim, Bukit Palah dan diiringi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari dan Mufti Negeri Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil bersama kira-kira 3,000 jemaah.

Yang di-Pertua Negeri PULAU PINANG, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pula menunaikan solat Aidiladha bersama kira-kira 4,000 umat Islam di Masjid Negeri Pulau Pinang di sini dan sebanyak sembilan ekor lembu turut dikorbankan pada majlis korban di kawasan parkir masjid itu untuk diagihkan kepada asnaf dan fakir miskin.

Sementara itu di SARAWAK, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunaikan solat sunat Aidiladha bersama jemaah lain di Masjid Jamek Negeri Sarawak di Petra Jaya, di sini.

Di SABAH, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 500 jemaah di Masjid Haji Noor, Serusup, Tuaran selain sebanyak empat ekor lembu bakal dikorbankan pada sambutan berkenaan.

Di PAHANG, Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, Pahang menjadi tumpuan umat Islam menunaikan solat Aidiladha di negeri itu yang dipimpin oleh Imam masjid itu Shaifuddin Ngah manakala khutbah bertajuk ‘Penghayatan Pengorbanan Dalam Menangani Semasa’, disampaikan oleh Muhammad ‘Izzan Idris Al-Hafiz. - Bernama