Azizulhasni dilantik duta 100PLUS

Azizulhasni dilantik sebagai duta 100PLUS untuk tempoh dua tahun dalam impiannya mengejar pingat emas temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Azizulhasni dilantik sebagai duta 100PLUS untuk tempoh dua tahun dalam impiannya mengejar pingat emas temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dilantik sebagai duta 100PLUS untuk tempoh dua tahun dalam impiannya mengejar pingat emas temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengarah Perniagaan F&N Beverages Marketing, Leong Wai Yin berkata, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu tidak boleh disangkal sebagai antara pelumba basikal trek terbaik dunia.

"Mohd Azizulhasni menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia dalam pelbagai peringkat usia. Sikap, komitmen, kecekalan dan keazaman beliau untuk berjaya di peringkat tertinggi memang tiada tandingannya.

"Beliau menghadapi pelbagai rintangan, termasuk menjalani pembedahan dan beliau berjaya kembali ke kedudukan terbaik dunia,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Mohd Azizulhasni, 35, berkata, beliau bersyukur atas pelantikan itu dan berjanji akan mencatatkan hasil terbaik sebagai tanda penghargaan.

"Latihan dan persediaan untuk memperoleh podium pada kejohanan seperti Sukan Asia dan Olimpik memerlukan banyak sokongan. Saya bersyukur 100PLUS, minuman isotonik terkemuka negara, tampil memberikan sokongan kepada saya untuk berjaya di persada dunia.

"100PLUS adalah rakan sokongan yang ideal untuk saya kerana semangat dan hasrat mereka untuk membantu pembangunan sukan di Malaysia. Saya teruja dan tidak sabar untuk bekerjasama dengan 100PLUS,” katanya.

Pemenang pingat perak Olimpik itu baru-baru ini meraih emas berganda menerusi acara keirin dan pecut pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai.

Berikutan prestasi menakjubkan, ranking beliau melonjak di kedudukan ketiga dalam acara keirin dan keenam dalam acara pecut, menurut Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).

Mohd Azizulhasni menyertai legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong, juara dunia beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta juara beregu Terbuka Perancis, Pearly Tan-M. Thinaah selaku duta 100PLUS. - Bernama