Tun M umum tak akan bertanding pilihan raya

Tun M
Tun M
A
A
A

SEPANG - Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan pendiriannya yang tidak akan bertanding pada sebarang pilihan raya akan datang.

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, ketika ini beliau hanya memberi tumpuan kepada perjuangan Proklamasi Orang Melayu (POM) dan mempertahankan hak dan kaum Melayu di negara ini.

“Kalau orang Melayu ingat kita nak berjuang kerana nak jadi Perdana Menteri, tidak, bukan sebab itu.

“Saya tidak berniat nak bertanding tetapi saya harap ada orang lain yang akan bertanding dan seluruh orang Melayu yang sayangkan negara dan bukannya sayang kepada duit, tolak korupsi, rasuah. Jangan kerana dapat RM100, kita jual undi,” katanya pada sidang akhbar khas pada Rabu.

Tun M bercakap dalam sidang akhbar khas di Hotel Sama-Sama KLIA pada Rabu.Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Tun M bercakap dalam sidang akhbar khas di Hotel Sama-Sama KLIA pada Rabu.Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan, orang Melayu perlu sedar bahawa setiap undi pada mana-mana pilihan raya bakal menentukan masa depan kaum tersebut.

“Ini perjuangan kumpulan POM, insya-ALLAH kalau kita dapat sokongan, kita akan letak cukup calon supaya boleh jadi kerajaan.

“Keterangan lanjut (mengenai POM) akan diberikan dengan lebih terperinci supaya orang Melayu sedar bahawa mereka hampir hilang negara di waktu ini dan masa hadapan.

Tun M (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran portal Proklamasi Orang Melayu (POM) pada sidang akhbar khas di Hotel Sama-Sama KLIA pada Rabu.Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Tun M (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran portal Proklamasi Orang Melayu (POM) pada sidang akhbar khas di Hotel Sama-Sama KLIA pada Rabu.Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

“Saya minta supaya orang Melayu sedar bahawa ini negara kita, (walaupun) sanggup kongsi dengan orang lain, jangan kongsi sampai nak hapuskan negara, nak jadikan milik orang lain, itu tidak boleh terima,” ujarnya.