Kisah lembu korban dan penyeludupan

Malaysia ialah negara pertanian dan penternakan sepatutnya mempunyai bekalan lembu mencukupi tanpa mengira musim. - Gambar hiasan
Malaysia ialah negara pertanian dan penternakan sepatutnya mempunyai bekalan lembu mencukupi tanpa mengira musim. - Gambar hiasan
A
A
A

KEHIDUPAN di Malaysia ada musim-musimnya. Kalau musim durian, pelbagai jenis boleh didapati seperti D24, IOI, kunyit dan musang king.

Musim harimau masuk kampung, berekor-ekor lembu dibaham raja rimba yang kelaparan dan apabila musim gajah pula, kelihatan haiwan-haiwan itu keluar melintasi Lebuh Raya Utara Selatan di Jeli-Gerik bagi mencari makanan.

Sekarang, musim haji. Selain sunat berpuasa, orang ramai juga meriah mengambil peluang menempah lembu sebagai persediaan melaksanakan ibadah korban yang sangat dituntut dalam Islam.

Korban mengingatkan kita kepada kisah Nabi Ibrahim AS yang taat melaksanakan perintah ALLAH menyembelih anaknya Nabi Ismail yang dikasihi.

Mereka melepasi ujian yang menjadi lambang kepatuhan, ketaatan terhadap Yang Maha Esa mengatasi nyawa dan kasih sayang antara bapa serta anak.

Ibadah korban bermaksud menyembelih binatang ternakan berkaki empat atau di dalam al-Quran disebut al-An’am.

Dalam keterujaan itu, terselit pula berita tidak enak kes-kes penyeludupan ruminan yang berlaku saban tahun bahkan makin terserlah menjelang sambutan raya.

Persoalannya, adakah kita juga menjadi 'tok dalang' yang mengambil kesempatan menyeludup lembu dari negara jiran bagi mengejar untung berlipat kali ganda tanpa mengendahkan batas undang-undang.

Misalnya, lembu dibeli dengan harga RM1,800 di negara jiran dan dijual setinggi RM4,500 hingga RM5,600 apabila tiba di negara ini.

Sebelum itu, lembu-lembu terlebih dulu dibawa menyeberangi Sungai Golok seperti laporan berita April lalu memaparkan sekumpulan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) menyerbu sekumpulan lelaki yang memindahkan 12 lembu menggunakan perahu di Sungai Tok Rusa, Meranti, Pasir Mas pada jam 10 malam.

Pada bulan lalu, dilaporkan lembu seludup menjadi pilihan penternak bagi memenuhi permintaan tinggi pelanggan untuk ibadah korban di Rantau Panjang, Kelantan.

Pelik tetapi benar, sedangkan Malaysia ialah negara pertanian dan penternakan yang sepatutnya mempunyai bekalan makanan mencukupi tanpa mengira musim atau perayaan.

Ironinya ada sahaja keperluan makanan yang seolah-olah tidak cukup hingga wujud saja ruang dan peluang menjurus kepada pengimportan atau lebih malang terdedah kepada bahana penyeludupan.

Isu harga lembu yang tidak stabil dan meningkat tidak menentu juga perlu diberi perhatian. Di Terengganu, sebahagian lembu mencecah RM1,100 seperti dilaporkan media pada 18 Mei lalu.

Kos termasuk upah sembelih dan melapah manakala di kebanyakan tempat lain, harga meningkat sekitar RM750 hingga RM800 sebahagian berbanding RM500 hingga RM650 tahun lalu.

Umat Islam yang berhasrat untuk menyertai ibadah korban tahun ini perlu mengeluarkan belanja lebih akibat kenaikan sehingga 25 peratus yang didorong oleh pelbagai faktor.

Menarik pula berita yang dilaporkan di Kota Bharu kerana masih ada penternak yang bermurah hati menjual lembu korban sekitar RM650 hingga RM700 sebahagian pada tahun ini dan membuktikan tidak mustahil harga boleh menjadi lebih murah dalam keadaan penternak masih lagi memperoleh untung.

Harga murah itu tidak akan terjadi sekiranya permintaan terus tinggi melebihi penawaran dan bekalan tidak cekap menampung permintaan yang ada.

Pada 5 April lalu, akhbar melaporkan ketidaktentuan pasaran industri makanan khususnya daging lembu. Perkara itu memperlihatkan pentingnya pihak dalam industri mengawal jaminan pasaran makanan dalam negara, namun sehingga kini, kebergantungan negara kepada daging import masih tinggi.

Menurut data Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, pada tahun 2020, Malaysia mengimport lebih daripada 207,000 tan lembu hidup dan daging lembu seberat 225,000 tan untuk memenuhi keperluan pengguna pada tahun itu.

Menurut Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula, sektor ternakan menyumbang sebanyak 7.3 peratus kepada keluaran sektor pertanian negara pada tahun sama.

Pada 14 Jun lalu, Majlis Pemulihan Negara mengesyorkan Malaysia perlu kembali menjadi negara pertanian bagi mengatasi masalah bekalan makanan.

Pada penulis, begitu juga industri ternakan yang amat wajar segera diperluaskan di seluruh negara dengan menambah lebih banyak ladang-ladang lembu sekali gus menampung permintaan lembu dalam negara.

* Adila Sharinni Wahid ialah wartawan Sinar Harian Kelantan