Empat sekeluarga maut, dua kanak-kanak parah

Keadaan kereta Perodua Bezza dan treler yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.
Keadaan kereta Perodua Bezza dan treler yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.
A
A
A

ALOR SETAR - Empat sekeluarga maut manakala dua lagi kanak-kanak parah dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Bezza dan sebuah treler di Jalan Kulim Baling, Padang Meha, Kulim pada Selasa.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan terbabit pada jam 4.06 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Terdapat enam mangsa dalam kereta terbabit yang mana empat daripadanya dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian selepas disahkan oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mangsa yang meninggal adalah seorang lelaki berusia 32 tahun, dua wanita berusia anggaran 30 tahun dan 59 tahun serta seorang bayi perempuan berusia lingkungan lapan bulan.

"Dua lagi mangsa iaitu kanak-kanak berusia lingkungan dua dan enam tahun didapati cedera parah," katanya pada Selasa.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima,kesemua mereka tersepit dalam kenderaan terbabit.

"Bagaimanapun kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota dengan peralatan khas.

"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulim dengan bantuan ambulans KKM manakala empat yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.