Abdul Hadi kekal Ahli Parlimen Marang

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Pilihan Raya di sini pada Selasa membatalkan dan menolak petisyen BN bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Marang yang dimenangi calon Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Petisyen itu difailkan calon BN, Jasmira Othman pada 3 Januari lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan itu dan mengarahkan pempetisyen membayar kos sebanyak RM50,000 kepada responden.

Keputusan itu diambil setelah mahkamah mendapati pihak pempetisyen gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

Perkembangan keputusan itu akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh terdekat.

Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022.

Tindakan itu didakwa dilakukan beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Pada PRU15 lalu, Abdul Hadi menang dengan majoriti 41,279 undi menewaskan Jasmira.