261,060 kg baja bersubsidi cuba diseleweng berjaya dirampas

Sebahagian baja bersubsidi yang bernilai lebih RM104,000 dipercayai cuba diseleweng berjaya dirampas di sebuah gudang di Jalan Padang Hang, Alor Setar pada Isnin. - Foto: KPDN Kedah
Sebahagian baja bersubsidi yang bernilai lebih RM104,000 dipercayai cuba diseleweng berjaya dirampas di sebuah gudang di Jalan Padang Hang, Alor Setar pada Isnin. - Foto: KPDN Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Sejumlah 261,060 kilogram (kg) baja bersubsidi bernilai lebih RM104,000 yang dipercayai cuba diseleweng berjaya dirampas di sebuah gudang di Jalan Padang Hang, Alor Setar pada Isnin.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, pihaknya telah menerima serahan kes daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi pada jam 3 petang Isnin.

"Pihak PPM telah menjalankan serbuan di lokasi itu pada pukul 11 pagi, sebelum menemukan baja berkenaan. Hasil soal siasat mendapati premis berkenaan tidak mempunyai kebenaran bertulis daripada Pegawai Bekalan, berkaitan pemilikan barangan kawalan berkenaan.

"Pihak PPM telah menyita kesemua baja berkenaan bersama sebuah lori, mesin jahit, alat timbang dan beberapa peralatan lain, yang digunakan untuk menjalankan kegiatan penyelewengan itu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, turut ditahan lapan individu termasuk dua warga Bangladesh dan Pakistan yang berumur antara 18 hingga 57 tahun untuk siasatan lanjut.

"Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961, yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.

"Pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dan sindiket dan aktiviti penyelewengan barang-barang kawalan sedemikian. Tindakan tegas juga akan diambil termasuk mendakwa mereka di mahkamah,” katanya. - Bernama