LHDN perkenal perkhidmatan e-107D

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memperkenalkan perkhidmatan baharu iaitu e-107D, bagi penghantaran borang potongan cukai dua peratus terhadap pembayaran komisen oleh syarikat pembayar kepada ejen, pengedar atau pengagih di bawah Seksyen 107D, Akta Cukai Pendapatan 1967.

LHDN dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan perkhidmatan baharu e-107D yang mula diperkenalkan 8 Jun lepas, membolehkan pengemukaan Borang CP107(D) dilaksanakan secara dalam talian oleh pembayar cukai.

"Ia merangkumi fungsi-fungsi seperti pengisian maklumat pembayar dan penerima bayaran komisen Seksyen 107(D) secara dalam talian, memuat turun lampiran CP107(D), memuat naik lampiran CP107(D) dan proses janaan nombor bil bagi tujuan pembayaran cukai Seksyen 107(D) melalui perkhidmatan ByrHASiL, selepas proses pengemukaan Borang CP107(D) berjaya dilakukan,” demikian menurut kenyataan itu.

Kenyataan LHDN itu memaklumkan bagi tujuan pembayaran cukai Seksyen 107D menggunakan nombor bil, ia boleh dilakukan melalui bayaran melalui FPX iaitu menerusi pautan ByrHASiL daripada perkhidmatan e-107D, selepas janaan nombor bil atau secara terus menerusi pautan ByrHASiL di https://byrhasil.hasil.gov.my/HITS_EP/ di portal rasmi LHDN, dengan memasukkan nombor bil yang telah dijana daripada e-107D.

Ia juga boleh dilakukan di kaunter Pusat Pengurusan Terimaan LHDN menggunakan nombor bil/nombor pengenalan cukai (TIN).

Perkhidmatan berkenaan boleh diakses menerusi aplikasi MyTax di https://mytax.hasil.gov.my/ dan pengguna MyTax perlu log masuk terlebih dahulu dan memilih peranan Pengarah atau wakil Pengarah bagi menggunakan perkhidmatan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, pembayar cukai juga boleh merujuk kepada tatacara penggunaan e-107D yang telah dimuat naik di menu Panduan Pengguna MyTax.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara); HASiL Live Chat; dan borang maklum balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public. - Bernama