Inspektor percubaan polis didakwa terima suapan RM3,000

Komplek Mahkamah Alor Setar.
Komplek Mahkamah Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang inspektor percubaan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menerima suapan sebanyak RM3,000 pada September tahun lepas.

Basree Ibrahim, 37, yang bertugas di sebuah ibu pejabat polis di sini, dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan wang tunai RM3,000 daripada seorang wanita berumur 34 tahun di sebuah restoran di sini pada 8.30 malam, 17 September 2022.

Ia sebagai dorongan untuk tidak melakukan suatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya iaitu tidak mengambil tindakan terhadap wanita berkenaan yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sehubungan itu, Basree didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di Pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan; tidak boleh mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 27 Julai ini untuk serahan dokumen berkaitan dan lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Zulfadli Azharudin manakala Basree tidak diwakili peguam.

Tertuduh kemudian membayar wang jaminan itu. - Bernama