Insiden bom lempar: Pakar bahan letupan antara panel penyiasat

Mohamad hadir majlis pengebumian Allahyarham Laskar Udara I, Mohd Iqmal Masdi, 22, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rawa, di sini pada Isnin.
Mohamad hadir majlis pengebumian Allahyarham Laskar Udara I, Mohd Iqmal Masdi, 22, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rawa, di sini pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Pakar bahan letupan merupakan antara panel penyiasat yang akan terlibat dalam Lembaga Siasatan ditubuhkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi mengenal pasti punca insiden kemalangan ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas pada Ahad.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, proses siasatan dijalankan segera dan hasilnya akan dimaklumkan kepada keluarga.

"Siasatan akan dilakukan segera dengan memilih panel penyiasat terlatih terutamanya dalam bidang letupan kerana kita tidak boleh mengambil sebarang penyiasat.

"Ia mesti orang yang pakar dan terlatih dalam bidang pengendalian bahan letupan untuk kenal pasti punca kemalangan," katanya ketika ditemui selepas hadir majlis pengebumian Allahyarham Laskar Udara I, Mohd Iqmal Masdi, 22, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rawa, di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya, tempoh siasatan tidak dapat dimaklumkan kerana jawatankuasa penyiasat baru ditubuhkan.

Justeru, kata Mohamad, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berlaku sehingga mengguris hati orang yang terlibat.

"Tiada siapa nak perkara ini berlaku. Tak baik buat spekulasi menyalahkan itu dan ini. Biarlah mereka yang menyiasat.

"Kita bersyukur kerana dengarnya ada saksi yang boleh beri keterangan yang merupakan seorang pakar pengendalian bahan letupan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh TUDM dalam latihan pengendalian senjata api terutama bom sememangnya sudah ketat.

Tambahnya, jurulatih yang mengendalikan latihan itu juga adalah terlatih dan akan mengiringi pelatih ketika sesi latihan dilakukan.

"Kejadian sebegini ada berlaku. Itu sebabnya siasatan perlu dilakukan dengan teliti sama ada berlaku pelanggaran SOP atau sebab lain.

"Kadang-kadang mengurus bahan letupan ini macam-macam boleh berlaku. Oleh sebab itu SOP kita memang ketat dan perlu dipatuhi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Jenazah Mohd Iqmal selamat dikebumikan

Insiden bom lempar: Suasana pilu selubungi pengebumian jenazah jurulatih TUDM

Seorang lagi anggota maut, TUDM akan tubuhkan Lembaga Siasatan

Anggota TUDM maut, 2 jurulatih cedera sesi latihan di Gemas