The Doppelmayr Group kendali sistem Kereta Kabel Bukit Bendera

Kon Yeow (empat dari kanan) ketika majlis menandatangani perjanjian konsesi untuk Pembangunan Perkhidmatan Kereta Kabel Bukit Bendera di bawah Reka Bentuk, Kewangan, Bina, Operasi dan Pemindahan antara PHC dan Hartasuma Sdn Bhd di Komtar pada Isnin..
Kon Yeow (empat dari kanan) ketika majlis menandatangani perjanjian konsesi untuk Pembangunan Perkhidmatan Kereta Kabel Bukit Bendera di bawah Reka Bentuk, Kewangan, Bina, Operasi dan Pemindahan antara PHC dan Hartasuma Sdn Bhd di Komtar pada Isnin..
A
A
A

GEORGETOWN - Sistem Kereta Kabel Bukit Bendera akan disedia dan dilaksanakan oleh sebuah syarikat peneraju pasaran global dalam kejuruteraan laluan kereta kabel iaitu The Doppelmayr Group.

Pengerusi Perbadanan Bukit Bendera (PHC), Chow Kon Yeow berkata, syarikat berkenaan telah membina lebih 86 pemasangan kereta kabel yang terletak di tapak Warisan UNESCO, Geopark dan Biosfera serta Taman Negara di pelbagai negara seluruh dunia.

"Sistem kereta kabel yang disediakan Doppelmayr diiktiraf secara meluas kerana kebolehpercayaan, keselamatan dan teknologi canggih yang disediakan oleh syarikat berkenaan.

"Dengan penglibatan mereka, kita yakin perkhidmatan kereta kabel di Bukit Bendera akan memenuhi piawaian antarabangsa tertinggi," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Komtar pada Isnin.

Sebelum ini, Pengurus Besar PHC, Datuk Cheok Lay Leng mengumumkan bahawa kerja-kerja pembinaan bagi projek Kereta Kabel Bukit Bendera akan bermula pada suku kedua 2024.

Lay Leng berkata, pihaknya sedang dalam proses memuktamadkan butiran teknikal untuk projek itu seperti jajaran dan tapak untuk tiang yang akan dibina pada kawasan hijau sensitif di bukit berkenaan.

Beliau berkata, sebaik sahaja butiran teknikal dan penjajaran kereta kabel itu disahkan, pihaknya akan meneruskan permohonan untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk penilaian kesan trafik (TIA) dan penilaian kesan alam sekitar (EIA).

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri berkata, projek Kereta Kabel Bukit Bendera akan dilaksanakan dengan mengambil kira secara menyeluruh faktor alam sekitar dan sosial di kawasan tersebut.

"Sistem kereta kabel ini dikenali secara meluas sebagai mod pengangkutan awam hijau, paling mampan alam sekitar dan bukti masa depan untuk pusat peranginan bukit, di darat dan kawasan bandar. Kereta kabel ini menggunakan kuasa elektrik dan mengeluarkan bunyi yang sangat rendah.

"Saya juga ingin menekankan bahawa pembinaan kereta kabel ini akan melibatkan penebangan pokok minimum supaya tidak akan membawa kesan buruk kepada alam sekitar. PHC dan syarikat pelaksana projek, Hartasuma Sdn Bhd komited untuk memastikan bilangan menara yang minimum dengan tapak kecil dalam reka bentuk dan pelaksanaan projek ini," katanya.

Projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang bernilai RM245 juta dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi.

Sebelum ini, kerajaan negeri memutuskan untuk meneruskan projek kereta kabel Bukit Bendera walaupun Kerajaan Pusat membatalkan peruntukan RM100 juta untuk membangunkan projek tersebut pada April 2020.