Gesa DAP mohon maaf, pecat Tony Pua

Nazri
Nazri
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda UMNO Jerlun menggesa DAP membuat permohoban maaf kepada Barisan Nasional (BN) dan memecat bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menggelarkan BN sebagai 'pakatan korup'.

Ketua Pemuda UMNO Jerlun, Nazri Arshat berkata, walaupun menyedari bahawa Kerajaan Perpaduan BN-PH adalah rapuh dan mudah retak pada bila-bila masa, namun Tony Pua tetap bertindak biadab dengan menghamburkan penghinaan terhadap BN.

Menurutnya, BN sebelum ini telah berlapang dada dan sanggup bersama Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan atas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah PH mahupun PN gagal meraih majoriti bagi membentuk kerajaan yang sah pasca PRU15 yang lalu.

"Oleh yang demikian, adalah sangat perlu bagi Kerajaan BN-PH menyemai perpaduan bersama bagi meraih keyakinan rakyat dan masyarakat dunia terhadap Kerajaan Perpaduan, sekali gus membina semula ekonomi dan imej negara di pentas antarabangsa.

"Tetapi malangnya, Tony pula bertindak songsang matlamat dan tidak berfikir panjang meretakkan perpaduan Malaysia Madani yang sedang dibina BN-PH, malah memberi gambaran buruk terhadap kerjasama yang sedang disemai," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Nazri berkata, DAP sama sekali tidak wajar membenarkan partinya dicemari pemimpin biadab seperti Tony Pua yang menghina BN sebegitu.

"Sekiranya DAP tidak bertindak memecat Tony daripada partinya, ini menandakan parti itu bersetuju dengan kenyataan bekas setiausaha publisitinya itu dan bakal melahirkan persepsi buruk terhadap kerjasama BN-PH.

"Apatah lagi isu ini berlaku menjelang PRN di enam negeri tidak lama lagi, semestinya ia memberi impak negatif kepada imej dan reputasi BN-PH kelak," katanya.

Nazri yang juga Bendahari Pemuda UMNO Kedah berkata, BN tidak bersifat maksum, suci dan tulus, namun kepimpinan BN kini sedang serius berusaha menghapuskan korupsi sama ada di dalam parti mahupun kerajaan bagi membina semula keyakinan rakyat.

"Justeru, saya mendesak DAP agar segera memohon maaf kepada BN dan mengambil tindakan tegas memecat Tony Pua daripada parti sebelum nasi menjadi bubur," katanya.