Azmin dicabar pertahan DUN Bukit Antarabangsa

Danish
Danish
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ibarat memalukan diri sendiri apabila lantang mengkritik pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Timbalan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Danish Hairudin berkata, kepimpinan Anwar dan Amirudin lebih baik berbanding bekas ahli Parlimen Gombak itu.

Menurutnya, kekalahan teruk Azmin di Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu jelas membuktikan rakyat menolak kepimpinan beliau di Selangor.

"Azmin kabur dan berbicara angkuh, beliau terlupa baharu sahaja direjam oleh rakyat Gombak apabila tewas hampir 13,000 undi dengan Amirudin pada PRU15 lalu.

"Jika benar Azmin anak jantan, beliau perlu berani mempertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa dan jangan lari mahu pun bersandiwara ingin berehat untuk tidak bertanding pada PRN Selangor kali ini," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan Azmin pada Konvensyen Pilihan Raya PN Selangor yang secara terang menyerang pimpinan Anwar atas hujah tidak dapat melihat hala tuju Kerajaan Perpaduan membangunkan negara.

Ujarnya, Kerajaan Perpaduan konsisten untuk mentadbir negara dengan tata kelola yang baik dan menghapuskan rasuah membolehkan negara membangun dengan baik serta memberi keyakinan kukuh kepada pelabur-pelabur.

Katanya, hal tersebut jelas apabila suku pertama pertumbuhan Malaysia mengatasi Singapura, Indonesia dan China dengan nilai pelaburan mencecah RM71 bilion untuk empat bulan pertama.

Beliau turut membidas kenyataan Azmin yang mendakwa mengangkat Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor.

"Amirudin diangkat menjadi Menteri Besar Selangor atas nama PKR yang meletakan beliau di posisi tersebut atas semangat parti dan bukan kerana individu yang bernama Azmin Ali," katanya.

Beliau berkata, rakyat Selangor bijak untuk menilai calon yang benar-benar ikhlas, berprinsip dan tidak khianat mandat rakyat.

"Menteri besar sekarang merupakan pemimpin yang jauh lebih kompeten mentadbir negeri berbanding Azmin.

"Prestasi cemerlang Amirudin mengemudi Selangor sudah cukup untuk memberi gambaran jelas dan tidak kabur kepada rakyat Selangor untuk terus memberi sokongan kepada PH mentadbir Selangor," katanya.