Pas bukan 'abang besar' dalam PN - Muhyiddin

Muhyiddin (tengah) menyerahkan sumbangan lembu korban bagi Parlimen Pagoh di Bukit Pasir pada Sabtu.
Muhyiddin (tengah) menyerahkan sumbangan lembu korban bagi Parlimen Pagoh di Bukit Pasir pada Sabtu.
A
A
A

MUAR - Pas sememangnya layak memperoleh bilangan kerusi lebih banyak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana parti itu sudah lama wujud berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tidak timbul isu Pas 'abang besar' di dalam PN kerana kesepakatan telah dicapai dan pembahagian yang adil telah dilaksanakan.

"Fakta bahawa Pas mempunyai kerusi yang lebih banyak memang jelas kerana sebelum kami (Bersatu) wujud, Pas sudah lama wujud. Malah Pas juga sudah mengusai kerajaan negeri di Kelantan, Terengganu serta Kedah.

"Selain itu, Pas juga sudah ada kerusi-kerusi di negeri lain. Dari segi proses pertimbangan pembahagian kerusi ini kita lihat, Pas sudah mempunyai ramai penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, Kelantan dan Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Lembu Korban bagi Parlimen Pagoh di Bukit Pasir dekat sini pada Sabtu.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menambah walaupun Pas memperoleh kelebihan lebih banyak kerusi di Kelantan, Terengganu dan Kedah namun Bersatu juga mempunyai lebih kerusi di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

"Kita tidak panggil parti itu 'abang besar' atau 'abang kecil'. Saya Presiden Bersatu dan Pengerusi PN, yang disokong oleh Pas.

"Tidak kisah siapa yang memimpin asalkan mempunyai azam dan perjuangan yang sama di dalam PN," katanya.

Pada Khamis, Muhyiddin mengesahkan (PN) sahkan akan bertanding di kesemua iaitu 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) meliputi Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Daripada jumlah itu, Pas akan bertanding 126 kerusi, Bersatu 83 kerusi dan Gerakan sebanyak 36 kerusi.