PDRM umum pertukaran jawatan 10 pegawai kanan

PDRM mengumumkan pertukaran jawatan 10 pegawai kanan - Foto 123RF
PDRM mengumumkan pertukaran jawatan 10 pegawai kanan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran jawatan 10 pegawai kanan termasuk Penolong Pengarah E6, Cawangan Khas, Bukit Aman, Tan Beng Yeow berkuat kuasa 24 Julai depan.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, jawatan baharu Tan ialah Ketua Penolong Pengarah E3, Cawangan Khas Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.

Pertukaran lain membabitkan Ketua Cawangan Khas Perak Datuk Shazeli Kahar yang akan dilantik menjadi Penolong Pengarah E1A, Cawangan Khas, Bukit Aman, juga memangku pangkat Deputi Komisioner.

Beliau berkata, Penolong Pengarah E1C Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Dr Lim Joo Soon pula akan menggantikan posisi Tan, manakala jawatan Lim diganti Penolong Pengarah E1A Cawangan Khas, Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Norhasni Hassan.

"Ketua Penolong Pengarah Pasukan Khas Siasatan Bersepadu Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman SAC Md Nazri Zawawi, akan menjadi Timbalan Ketua Polis Melaka. Posisi beliau akan digantikan Komandan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching, Sarawak Senior Asisten Komisioner Razali Mohamad,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu, Noorsiah berkata, Komander Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Kuching, Sarawak Asisten Komisioner Zulfikar Mohd Ghazali akan dilantik menjadi Komandan PULAPOL, Kuching, Sarawak dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

Beliau barkata, Senior Asisten Komisioner Pentadbiran Jabatan Pengurusan Selangor Asisten Komisioner Alina Saad pula akan menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Kepolisan Komuniti Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, juga memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

Selain itu, Timbalan Ketua Cawangan Khas Risikan dan Operasi Perak Asisten Komisioner Hishammudin Mohd Amin akan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner dengan menggantikan posisi Shazeli sebagai Ketua Cawangan Khas Perak yang baharu.

Beliau berkata, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Selangor Supt Rudy Abdullah akan menjadi Timbalan Ketua Staf Operasi Darat Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Kementerian Dalam Negeri yang baharu, dengan memangku pangkat Asisten Komisioner. - Bernama.