Kes Basni Sabrah: JPN akan jalankan siasatan

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menjalankan siasatan berhubung kes penyalahgunaan kad pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) milik seorang lelaki bernama Basni Sabrah.

Menurut jabatan tersebut, semakan di pangkalan data mendapati bahawa Basni yang disangka meninggal, sebenarnya masih hidup.

Namun, kekeliruan yang timbul adalah disebabkan MyPRnya yang sebelum ini hilang digunakan oleh orang lain.

“Walaupun satu pihak lagi disyaki menggunakan MyPR yang hilang tersebut telah meninggal dunia, JPN akan melakukan risikan dan siasatan terhadap kebarangkalian yang ada berkaitan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Baru-baru ini, Basni dimaklumkan oleh anaknya yang berada di Dumai, Sumatera, Indonesia bahawa pihak kedutaan memaklumkan ‘kematiannya’ di Hospital Kajang pada 20 Mei lalu.

Terkejut dengan perkhabaran tersebut, dia yang menetap di Kepong telah membuat laporan di Balai Polis Bukit Idaman untuk menyatakan dirinya masih hidup.

Jelas lelaki berasal dari Sumatera, Indonesia itu, berdasarkan dokumen diperoleh daripada pihak kedutaan, hanya gambarnya yang berbeza sedangkan nama dan maklumat tempat tinggal adalah sama.

Dalam pada itu, JPN mengingatkan bahawa MyPR yang hilang boleh disalah guna dan boleh menggugat keselamatan negara ini

“Menggunakan kad pengenalan orang lain merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara (PPN) 1990 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.