Potensi cerah usahawan berkembang di Perak

A
A
A

Shahrul Shafiq menunjukkan sijil halal dan sijil MESTI yang dimiliki syarikatnya bersama produk dihasilkan dengan bantuan serta bimbingan daripada STeP.
Shahrul Shafiq menunjukkan sijil halal dan sijil MESTI yang dimiliki syarikatnya bersama produk dihasilkan dengan bantuan serta bimbingan daripada STeP.

SERI ISKANDAR - Negeri Perak kini menjadi pilihan usahawan untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Pelbagai peluang dan potensi yang boleh diterokai di sini menjadikan Perak sebagai tumpuan komuniti usahawan terutama golongan muda.

Pengarah Urusan Mouthgasm Sdn Bhd, Shahrul Shafiq Rosni yang membuka ibu pejabat perniagaannya di Pusat Perniagaan Seri Iskandar (SIBC) di sini mengakui keputusan dibuat memilih Perak sebagai pusat operasi berbaloi.

Menurutnya, Perak dipilih untuk memulakan perniagaan kerana kos kehidupan masih rendah selain pasaran kurang kompetitif berbanding di Lembah Kelang.

"Kalau kita lihat ramai usahawan memilih Lembah Kelang sebagai pusat untuk memulakan perniagaan mereka namun sebenarnya Perak mempunyai potensi yang cukup besar bagi memulakan dan mengembangkan perniagaan.

"Lebih beruntung lagi apabila usahawan di Perak ini mendapat bimbingan dan pelbagai kemudahan yang disediakan oleh STeP (Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak)," katanya kepada Sinar Harian.

Anak muda berusia 28 tahun itu menjelaskan, perniagaan yang dimulakan pada tahun 2019 itu kian berkembang di sebalik cabaran pandemik Covid-19.

No Image Caption

Menurutnya, pada tahun 2020 ketika banyak industri mengalami penurunan jualan, syarikatnya berjaya meraih jualan sehingga 3 juta unit bagi produk Mouthgasm Crunchy Mocha.

Beliau berkata, ketika ini produknya telah berkembang kepada lapan jenis dan mula menembusi pasar raya besar seperti AEON malah bakal memasuki rangkaian Kedai Mesra Petronas.

"Kesemua kejayaan ini hasil inisiatif dan peluang diberikan oleh STeP dengan menyertai pameran-pameran perniagaan besar yang berlangsung di dalam negara. Malah atas bantuan STeP juga, kami sudah berjaya memperoleh pensijilan halal.

"Kita memang nampak dengan jelas hala tuju dan perancangan kerajaan negeri terhadap komuniti usahawan ini menerusi pelan Perak Sejahtera 2030," katanya lagi.

Menurutnya, kedudukan negeri Perak amat strategik dengan jaringan Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuh Raya Pantai Barat membantu dari segi keperluan logistik usahawan.

Jelas Shahrul Shafiq, berada di tengah-tengah antara Selangor dan Pulau Pinang menjadikan Perak amat kondusif untuk komuniti perniagaan bertapak.

Katanya, usahawan muda khususnya di negeri ini perlu merebut peluang disediakan oleh kerajaan Perak dalam membantu golongan berkenaan mengembangkan perniagaan.