UMK tersenarai universiti terbaik Asia

UMK buat julung kalinya tersenarai sebagai salah sebuah universiti terbaik di Asia oleh Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023 apabila berada diranking 501-600. Gambar kecil: Razli
UMK buat julung kalinya tersenarai sebagai salah sebuah universiti terbaik di Asia oleh Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023 apabila berada diranking 501-600. Gambar kecil: Razli
A
A
A

BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) buat julung kalinya tersenarai sebagai salah sebuah universiti terbaik di Asia oleh Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023 apabila berada diranking 501-600.

Pencapaian itu berdasarkan pengumuman dibuat di THE Summit Asia 2023 di The Chinese University of Hong Kong (CUHK) yang berlangsung pada Khamis.

Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Razli Che Razak berkata, lebih manis kejayaan itu hadir bersama-sama pencapaian institut tersebut di THE World Universiti Ranking 2023 selepas tersenarai buat pertama kali di kedudukan 1201-1500 sekali gus meletakkan ia sebaris dengan universiti bertaraf dunia.

“THE World University Rankings Asia 2023 menggunakan 13 penunjuk prestasi yang sama seperti THE World University Rankings, tetapi penilaian semula dibuat untuk mencerminkan sifat institusi Asia.

“Merujuk kepada penarafan tersebut, UMK dinilai berdasarkan lima indikator utama iaitu pengajaran (persekitaran pembelajaran), penyelidikan (jumlah pendapatan dan reputasi), sitasi (pengaruh penyelidikan), pendapatan industri (pemindahan pengetahuan) dan hubungan antarabangsa (kakitangan, pelajar dan penyelidikan).

“Kejayaan luar biasa ini menunjukkan komitmen UMK dalam menyediakan pendidikan bertaraf dunia dan memupuk persekitaran pembelajaran yang dinamik serta inklusif disamping usaha berterusan dalam penyelidikan dan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, pengiktirafan kemajuan UMK dalam penarafan ini bukan sahaja mencerminkan dedikasi, kerja keras pensyarah, kakitangan dan pelajar malahan juga menekankan sokongan, kerjasama kukuh dari pelbagai pihak berkepentingan, termasuk kerajaan, rakan industri, komuniti serta setempat.

Ujarnya, kejayaan itu juga berdasarkan kepada komitmen universiti dan cabaran masa depan.

Razli memberitahu, UMK komited untuk memanfaatkan pencapaian itu sebagai tunggak untuk pertumbuhan dan keunggulan berterusan.

"UMK berhasrat untuk memperkukuh keupayaan penyelidikan, meningkatkan kerjasama antarabangsa, dan meluaskan program akademik untuk menarik bakat terbaik dari seluruh dunia,” ujarnya.