UMNO terus jadi penumpang di Selangor - Noh

Noh (dua dari kiri) menerima cenderamata semasa hadir ke Program Sembang Santai Bersama beliau sempena Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada malam Khamis.
Noh (dua dari kiri) menerima cenderamata semasa hadir ke Program Sembang Santai Bersama beliau sempena Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada malam Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar melihat parti itu akan terus menjadi penumpang jika hanya diberikan jumlah kerusi yang sedikit oleh Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Noh berkata, situasi itu dilihat akan mengukuhkan lagi cengkaman Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir Selangor jika diberi mandat sekali lagi.

"Kalau dapat kerusi sedikit...yang menang adalah PH dan UMNO akan jadi penumpang sahajalah.

"Saya percaya ramai ketua-ketua bahagian bekerja keras siang dan malam tetapi akhirnya terpaksa beri kerusi kepada orang lain," katanya semasa Program Sembang Santai Bersama beliau sempena Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada malam Khamis.

Menurut Noh, selaku bekas pemimpin UMNO adalah satu perkara yang menjatuhkan maruah parti tertua negara itu jika diberikan kerusi sedikit pada PRN Selangor nanti.

Ujarnya, UMNO dan BN tidak perlu menumpang orang jika betul-betul mahu kembali menjadi dominan di negeri berkenaan.

Beliau memberitahu, UMNO dan BN tidak perlu takut untuk bertembung dengan parti-parti lain yang membentuk Kerajaan Perpaduan pada PRN nanti.

"Hal ini kerana parti itu pernah melalui situasi tersebut semasa bersama Pas di dalam Muafakat Nasional (MN) suatu ketika dahulu.

"Kalau semasa bersama-sama MN dahulu BN tidak takut bertembung Pas pada PRN Melaka dan Johor.

"Kenapa perlu takut untuk bertembung PH pada PRN kali ini? Jadi biarlah macam dahulu kalau mahu pulihkan balik imej UMNO dan BN," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan BN dijangka bertanding sekurang-kurangnya 14 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Selangor yang akan diadakan dalam waktu terdekat.

Ikuti perkembangan semasa berita Pilihan Raya Negeri di sini!