UMNO tiada masa depan, ahli perlu undi PN - Mohd Amar

Mohd Amar (tengah) semasa program Sembang Santai Bersama Tan Sri Noh Omar sempena Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada malam Khamis.
Mohd Amar (tengah) semasa program Sembang Santai Bersama Tan Sri Noh Omar sempena Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada malam Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Seluruh ahli dan penyokong UMNO perlu memberi undi mereka kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana parti keramat Melayu itu dilihat sudah tidak mempunyai masa depan, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Jelas Mohd Amar, dengan kedudukan hari ini, UMNO sudah tidak mampu untuk mempertahankan Islam dan Melayu apabila dilihat semakin hilang 'taring'.

"Kita lihat rekod UMNO, mereka semakin jatuh sehingga tinggal lebih kurang 26 kerusi (Parlimen) sahaja sehingga hari ini. Dengan kepimpinan yang ada pada hari ini, saya jangka UMNO akan terus jatuh lagi.

"Mengambil contoh di Selangor, Pakatan Harapan (PH) tidak mahu beri laluan kepada UMNO dan difahamkan berkemungkinan mereka (UMNO) hanya dapat sekitar lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN nanti," katanya kepada pemberita selepas program Sembang Santai Bersama Tan Sri Noh Omar sempena Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam Khamis.

Mohd Amar berkata, ketika ini PN dilihat gabungan yang sesuai untuk menggantikan UMNO dalam menjaga Islam dan Melayu di Malaysia.

Ujarnya, ahli atau penyokong UMNO tidak perlu menyertai Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) namun dengan hanya memberi undi kepada PN pada PRN nanti.

Beliau berkata, kemenangan PN pada PRN di semua negeri ini adalah untuk kepentingan Islam dan Melayu serta masa depan negara.

"Dalam konteks Malaysia, parti teras yang mentadbir adalah Melayu dan Islam. Kalau dulu UMNO, tapi dalam Pakatan Harapan hari ini, parti teras bukan Melayu.

"Jadi situasi itu kurang baik untuk masa depan politik Malaysia," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata, jika PN menang di semua enam negeri itu ia akan menjadi referendum penolakan rakyat terhadap PH sebagai kerajaan di peringkat Persekutuan dan situasi itu dilihat mampu mengubah landskap politik negara selepas ini.