Serang MCA, MIC, Lokman kini dilihat pembela DAP - Lian Ker

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - MCA melabelkan Ketua Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sebagai jurucakap kepada DAP susulan kenyataan Lokman sebelum ini yang menyifatkan MIC dan MCA sebagai ‘biawak hidup’ dalam komponen BN.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, daripada 'No DAP', Lokman kini sudah dilihat sebagai pembela parti itu.

"Apa-apa pun, tahniah DAP, siapakah 'pengkhianat' sebenarnya?

"Janganlah Lokman menjadi biadab seperti DAP yang pernah gelar MCA sebagai 'anjing UMNO' dengan melabel MCA dan MIC sebagai 'biawak hidup'.



"Bertaubatlah dan janganlah mengaibkan lebih-lebih lagi rakan seperjuangan," katanya menerusi laman Facebook pada Khamis.

Semalam, Lokman menerusi wawancara dengan MalaysiaGazette berkata MCA dan MIC umpama ‘biawak hidup’ yang dipikul UMNO sedangkan mereka tidak mampu meraih sokongan Cina dan Melayu untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Tambah Lian Ker, Lokman tidak perlu meraih populariti diri yang semakin luntur dengan menyerang parti-parti komponen BN.

"MCA selama berada dalam keluarga BN terus mengamalkan politik kesederhanaan dan menghormati kepelbagaian.

"Adakah Lokman mahu MCA menjadi parti ekstremis dan cauvinis demi meraih undi, sehingga mengorbankan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia?" soalnya.

Lian Ker turut menyindir Lokman hanya pandai mengata orang lain sedangkan kekalahan sebenar BN adalah disebabkan beberapa faktor antaranya mula kehilangan sokongan masyarakat Cina dan India.

"BN yang lebih cenderung kepada semangat kebangsaan berasaskan perlembagaan dan ciri-ciri kemelayuan telah ditentang hebat oleh DAP dan ia membawa kepada 'Deklarasi Setapak'.

"Deklarasi Setapak memperkukuh pandangan DAP bahawa dalam proses membina negara, kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting dan di atas prinsip inilah pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok ‘bumiputera’ dan ‘bukan bumiputera’ ditentang," ujarnya.

Menurut Lian Ker, DAP mula meraihkan sokongan pelbagai kaum atas naratif politik kesamarataan dan penghapusan bumiputera.

"Inilah hakikat serta pengorbanan politik yang diterima oleh BN atas semangat 'collective responsibility'," jelasnya.