'Kami bertengkar pun tidak ada' - Muhyiddin

Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin Yassin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin menafikan dakwaan wujud hubungan tidak baik antara dirinya dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Bercakap pada sidang akhbar khas sempena Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Kerusi dan Mesyuarat Majlis Presiden PN di sini pada Khamis, Muhyiddin menyifatkan 'berita' itu sengaja ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab.

"(Berita) ini dibuat sebab (lawan) tidak ada modal. Padahal parti paling harmoni adalah PN.

"Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tiada masalah langsung.

"Dalaman (parti) masing-masing pun damai, kami bertengkar pun tidak ada. (Ia) sengaja dibuat-buat sahaja. Jangan percaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa dirinya mempunyai hubungan tidak baik dengan Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu susulan pandangan berbeza mengenai hala tuju parti.

Turut hadir, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau dan kepimpinan tertinggi lain.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan tawaran kepada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, perkara itu perlu ditanya sendiri kepada bekas Ahli Parlimen Rembau tersebut.

Malah katanya, di pihak Bersatu atau PN, beliau telah menyatakan perkara yang sepatutnya dibincangkan.

"Dia (Khairy) ada jawab dalam podcast (Keluar Sekejap). Saya dah nyatakan apa yang patut kita bincang (dan) beliau (jugq) telah beri penjelasan dalam media," katanya.