Curi dalam surau: Pemilik selimut, rakan ditahan

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

JEMPOL - Polis menahan dua lelaki termasuk pemilik selimut yang disyaki terlibat dalam kejadian curi beg silang di Surau Kampung Indah, Bahau pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis daerah Jempol, Deputi Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kedua-dua suspek itu ditahan pada jam 8.45 malam pada hari sama sebaik menerima laporan berhubung kejadian.

"Suspek telah direman selama empat hari bermula Khamis bagi membantu siasatan dan hasil siasatan awal mendapati terdapat seorang lagi suspek masih bebas iaitu rakan kepada suspek.

"Suspek yang masih bebas itu merupakan suspek utama, telah masuk ke dalam surau dengan menggunakan kain selimut yang diambil di rumah salah seorang suspek yang ditahan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil melaporkannya di balai polis berhampiran.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan seorang warga emas kehilangan dokumen penting termasuk kad bank dan wang tunai RM150 selepas beg silang miliknya di curi lelaki 'berselimut' ketika solat subuh di surau berkenaan.

Perbuatan suspek berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) surau berkenaan setelah mangsa Abdul Rahman Salimap, 68, menyedari begnya tiada.