Ketua 'Geng Mizan' akhirnya dicekup

Tangkap layar laporan Sinar Harian berhubung tangkapan 'Geng Mizan' sebelum ini.
Tangkap layar laporan Sinar Harian berhubung tangkapan 'Geng Mizan' sebelum ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Ketua 'Geng Mizan' yang diburu polis setelah dikesan menjadi dalang kegiatan pecah rumah dan premis sekitar Kedah, Perak dan Pulau Pinang, akhirnya dicekup.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek berusia 42 tahun turut ditahan bersama tiga lagi ahli kumpulan terbabit dalam serbuan kira-kira jam 7.30 malam di Kawasan Rehat RTC Gopeng Perak, pada Selasa.

Menurutnya, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda selepas berjaya mengekori kumpulan tersebut.

"Suspek utama yang juga ketua geng beralamat di Bedong, Kedah dikehendaki polis membabitkan 12 rekod jenayah pecah rumah dan premis serta mempunyai dua rekod berkaitan kes narkotik.

“Hasil siasatan, suspek mengaku terlibat dalam kegiatan pecah pejabat sebuah syarikat penghantaran di Bakar Arang, Sungai Petani bersama tiga rakan lain.

“Suspek turut mengaku terlibat dalam pecah Istana Hinggap di Taman Tunku Sarina, Jitra,” katanya.

Menurut Zaidy, suspek telah dibawa ke IPD Kuala Muda untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis masih memburu dua lagi anggota kumpulan terbabit yang masih bebas.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan polis Kedah berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah Geng Mizan yang bergiat aktif di Utara Semenanjung sekali gus menyelesaikan 15 kes pecah rumah.

Dalam serbuan terdahulu, seramai tujuh individu termasuk seorang wanita ditahan dalam beberapa siri serbuan di sekitar Kedah.

Susulan itu operasi khas memburu ketua kumpulan yang aktif dalam jenayah pecah rumah dan premis itu telah digerakan.