Harrif mohon tajaan basikal trek

Harrif (kiri) beraksi dalam acara perlumbaan penyingkiran pada ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai baru-baru ini. - Foto Facebook Harrif Saleh
Harrif (kiri) beraksi dalam acara perlumbaan penyingkiran pada ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai baru-baru ini. - Foto Facebook Harrif Saleh
A
A
A

JAGUH berbasikal lebuh raya negara, Mohd Hariff Saleh tampak benar-benar serius untuk kembali aktif menggegarkan trek velodrom.

Selepas membuat penampilan pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini, Harrif nyata tidak mahu menoleh ke belakang lagi.

Namun, Harrif yang terkenal selaku pakar pecut dalam acara lebuh raya berdepan masalah tidak memiliki basikal trek untuk merealisasikan impiannya itu.

“Saya memang berkeinginan jika ada pihak-pihak yang hendak menaja basikal trek velodrom ataupun peralatan lain seperti handle untuk acara trek.

“Jika saya memiliki basikal sendiri, mudah bagi saya berlatih untuk menguatkan lagi sprint (pecut) dan juga stamina selain latihan road (lebuh raya) sekarang.

“Tambahan pula, (dengan) velodrom yang baru siap berpangkalan di Dungun, Terengganu, mudah untuk saya berlatih di sana.

“Saya berharap ada pihak sudi membantu masalah saya ini. Saya jarang nak luahkan apa yang terbuku di hati ini,” tulis Harrif di laman sosial Facebook miliknya pada Selasa.

Hariff berkata, dia hanya menggunakan basikal trek yang dipinjamkan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) ketika membuat penampilan pada ACC 2023 yang berakhir Isnin lalu.

“Saya juga berterima kasih kepada MSNT kerana memberi pinjam basikal baru-baru ini kepada saya untuk mewakili malaysia dalam saingan ACC dan kejohanan kebangsaan.

“Memandangkan sekarang di Malaysia sudah banyak perlumbaan (trek) dianjurkan, cita-cita saya juga ingin menjadi seperti Dato Azizul (jaguh trek negara, Datuk Azizulhasni Awang).

“Walaupun berlainan acara, saya akan fokus pada acara track endurance,” jelas pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu.

Pada ACC 2023, Harrif berjaya menamatkan acara elimination (perlumbaan penyingkiran) di tangga kelapan daripada 15 pelumba biarpun hanya membuat persiapan dalam tempoh dua minggu.

Sejurus menamatkan acara tersebut, Harrif atau lebih terkenal dengan panggilan Mamat menyatakan kesediannya membarisi skuad berbasikal trek negara jika khidmatnya diperlukan.

Pada masa sama, Harrif mengakui tumpuan utamanya ketika ini adalah bersama TSG memandangkan dia sudah mencipta nama dalam saingan lebuh raya lebih sedekad yang lalu.