Inisiatif permit niaga Lesen KL Madani dilanjut

DBKL melanjutkan inisiatif Lesen KL Madani bagi memperkasa peniaga dan penjaja kecil di Wilayah Persekutuan. - Gambar hiasan
DBKL melanjutkan inisiatif Lesen KL Madani bagi memperkasa peniaga dan penjaja kecil di Wilayah Persekutuan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melanjutkan inisiatif Lesen Kuala Lumpur (KL) Madani bagi memperkasa peniaga dan penjaja kecil di Wilayah Persekutuan.

DBKL dalam satu kenyataan berkata, Lesen KL Madani sebelum ini dikenali Lesen KL Prihatin yang dijenamakan semula sejajar dengan matlamat Malaysia Madani.

Menurutnya, pemegang lesen berkenaan boleh memperbaharui lesen tersebut pada setiap enam bulan secara berterusan mulai 1 Julai depan.

"Kadar pembaharuan lesen ialah RM20 bagi fi lesen dan RM30 sebulan bagi caj perkhidmatan selaras dengan tempoh dan kadar lesen sementara yang ada.

"Pemegang Lesen KL Madani yang akan tamat tempoh lesen, dikehendaki memperbaharui lesen secara dalam talian melalui portal

https://elesen.dbkl.gov.my," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

DBKL pada masa mengingatkan peniaga untuk menjalankan perniagaan secara sah dan memperbaharui lesen yang telah tamat tempoh.

"Peniaga yang tidak mematuhi atau melanggar syarat-syarat lesen seperti yang telah dinyatakan secara jelas di dalam lesen akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan lesen tersebut boleh dibatalkan," katanya.