6,771 veteran ATM dapat kerja selepas Latihan Peralihan Perhebat

Zaidah (tengah) bersama bakal persara ATM pada Majlis Penyampaian Sijil Latihan Peralihan Perhebat di Tunjong Kota Bharu pada Rabu.
Zaidah (tengah) bersama bakal persara ATM pada Majlis Penyampaian Sijil Latihan Peralihan Perhebat di Tunjong Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Sejumlah 67 peratus atau 6,771 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya mendapat pekerjaan selepas menjalani Latihan Peralihan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dalam tempoh 2018 hingga 2022.

Pengarah Bahagian Kewangan dan Akaun Perhebat, Zaidah Mohd berkata, mereka antaranya golongan pekerja bermajikan, bekerja sendiri dalam ekonomi gig dan usahawan yang memperoleh pendapatan purata sekitar RM3,000 sehingga RM5,000 sebulan.

Menurut beliau, angka peratusan terbabit dikira daripada 10,072 veteran yang dapat dihubungi sementara jumlah sebenar keseluruhan veteran dilatih dan dipantau dalam tempoh berkenaan adalah 22,398.

“Daripada 6,771 veteran mempunyai pendapatan itu, seramai 1,789 veteran memilih bekerja dengan majikan, usahawan kecil-kecilan dan ekonomi gig (3,813) serta usahawan mempunyai syarikat sendiri (1,169).

“Seramai 3,301 masih tidak bekerja kerana sebahagiannya menyambung pengajian, sedang mencari pekerjaan dan atas pilihan sendiri serta bergantung pada pencen,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Latihan Peralihan Perhebat di Tunjong di sini pada Rabu.

Zaidah
Zaidah

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Kelantan (Pengurusan), Datuk Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf.

Zaidah berkata, dalam usaha memberi nilai tambah kepada kebolehpasaran veteran dalam sektor pekerjaan, Perhebat bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia melalui Program Recognition of Prior Experiential Learning (R-Pel).

“R-Pel memberi peluang veteran menyambung pengajian dan mengikuti program Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Satu hingga Tiga, Diploma Kemahiran Malaysia Tahap Empat dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia Tahap Lima.

“Manfaat juga diluaskan melalui 16 Pusat Latihan dan Bimbangan Veteran di seluruh negara termasuk di Kedah, Kelantan dan Pahang,” ujar beliau.

Pada Selasa, akhbar melaporkan Kementerian Pertahanan akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengukuhkan fungsi dan hala tuju Perhebat supaya proaktif dalam menyediakan latihan kepada veteran ATM.