Kerajaan fokus tarik pelaburan bernilai tinggi bidang digital AI, data raya

Nie Ching ketika menghadiri Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Nie Ching ketika menghadiri Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Digital menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memfokuskan usaha menarik pelaburan langsung asing dan domestik bernilai tinggi dalam bidang digital tertentu seperti kecerdasan buatan (AI) dan analitis data raya.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, bidang lain termasuk Internet benda (IoT), blok rantai, keselamatan siber, teknologi dron, teknologi media kreatif termasuk realiti lanjutan dan realiti campuran.

"Secara kolektif, kerajaan melalui MDEC telah memperuntukkan jumlah keseluruhan RM238 juta di bawah bajet Rancangan Malaysia ke-12 sebagai pelaburan awam ke dalam sembilan sektor Program Mangkin Malaysia Digital (Pemangkin) dengan memberi fokus kepada pembangunan industri seperti infrastruktur digital, pendidikan dan memberikan kemahiran kepada rakyat untuk berjaya dalam ekonomi digital.

"Sebanyak RM45 juta daripada jumlah peruntukan digunakan untuk meningkatkan kebolehupayaan teknologi seperti teknologi blok rantai, automasi, AI dan lain-lain, manakala RM50 juta daripada jumlah peruntukan adalah melalui geran padanan digital," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Wan Martina Wan Yusoff mengenai senarai prospek pelaburan digital yang telah dikenal pasti dan sektor yang terlibat di bawah pelaburan bernilai RM1 bilion semasa pelancaran Pemangkin pada 17 April lepas.

Sembilan sektor digital tumpuan khusus di bawah Pemangkin pertanian, pelancongan, kandungan, kesihatan, perbandaran, kewangan, perkhidmatan, perdagangan dan ekonomi Islam. - Bernama