Pedang berusia 3,000 tahun ditemui dalam keadaan masih berkilau

Pedang tersebut ditemui dalam sebuah kubur yang mengandungi tiga mayat, seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak. - Foto Twitter/Nina Willburger
Pedang tersebut ditemui dalam sebuah kubur yang mengandungi tiga mayat, seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak. - Foto Twitter/Nina Willburger
A
A
A

AHLI arkeologi telah menemui sebilah pedang berusia lebih 3,000 tahun di tapak pengebumian di Bavaria, Jerman.

Pejabat Negeri Bavaria dalam satu kenyataan berkata, pedang berkenaan ditemui dalam keadaan sangat baik dan bilahnya masih berkilau.

Artifak berkenaan ditemui minggu lepas di tapak pengebumian Donau-Ries dan pakar penyelidik percaya ia ditinggalkan dalam kubur sebagai hadiah kepada si mati.

Pedang tersebut dipercayai dibuat pada hujung abad ke-14 iaitu pada Zaman Gangsa Pertengahan.

Tambah kenyataan tersebut, hulu pedang berkenaan berbentuk oktagon dan diperbuat sepenuhnya daripada gangsa.

Ahli arkeologi percaya pedang yang ditemui itu merupakan senjata sebenar yang digunakan pada zaman itu.

Ia ditemui dalam sebuah kubur yang mengandungi tiga mayat, seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak yang dipercayai dikebumi pada waktu yang sama.

Hubungan antara mereka masih tidak dapat dikenal pasti namun mereka dikebumi dengan pelbagai artifak lain. - Awani