Gandingan senior, muda taruhan Papua New Guinea

Kamake (kiri) bersama Gunemba pada sidang akhbar menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok. 

- Foto Bernama
Kamake (kiri) bersama Gunemba pada sidang akhbar menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok. 

- Foto Bernama
A
A
A

PAPUA New Guinea berazam memberi tentangan sengit kepada skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon pada pertemuan persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam esok.

Susulan keputusan seri 2-2 berdepan Singapura pada aksi persahabatan di negara berkenaan Jumaat lalu, PNG tidak sabar untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan.

Bagaimanapun pengendali Papua New Guinea, Harrison Kamake berkata, keputusan malam esok bergantung kepada kemampuan pasukan gabungan pemain muda dan senior melaksanakan pendekatan taktikal yang diatur.

“Kami sudah cukup bersedia dan positif untuk berdepan dengan skuad Harimau Malaya..keputusan bergantung kepada pendekatan kepada perlawanan ini.

“Tetapi kami menghormati semua pemain Malaysia, kami tahu cara mereka bermain. Malaysia mempunyai pemain yang cukup berkualiti terutama kapten (pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim),” katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Pertemuan esok adalah kedua dalam siri aksi persahabatan antarabangsa selepas Harimau Malaya membenam Kepulauan Solomon 4-1 di venue sama, Rabu lalu.

Harimau Malaya kini memburu kemenangan keempat berturut-turut dalam aksi persahabatan selepas mengatasi Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong 2-0 di Johor, Mac lalu.

Berdasarkan rekod dengan PNG, Malaysia telah memenangi tiga daripada empat perlawanan dengan pertemuan terakhir pada 2016 menyaksikan Harimau Malaya menang 2-1, lima bulan selepas tewas 0-2 kepada lawan yang sama.

Hanya lima pemain daripada skuad 2016 kekal dalam pasukan Papua New Guinea sekarang termasuk kapten Raymond Gunemba yang menjaringkan gol penyamaan kedua menentang Singapura.

Selain menyedari keupayaan skuad Harimau Malaya, Gunemba percaya rakan sepasukannya yang bermotivasi tinggi mampu mempamerkan aksi berkualiti untuk memberi saingan sengit.

“Selepas menonton perlawanan tuan rumah menentang Kepulauan Solomon, saya rasa standard skuad Harimau Malaya meningkat berbanding skuad 2016. Kini mereka memiliki pemain berkualiti dan kami perlu bersedia dengan baik untuk cabaran sukar esok,” kata penyerang berusia 37 tahun itu.

Malaysia kini berada di ranking ke-138 dunia manakala Papua New Guinea di kedudukan ke-159.