Chong Wei belum sedia sandang jawatan tapi sedia bantu BAM

Chong Wei - Foto Bernama
Chong Wei - Foto Bernama
A
A
A

LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei masih belum berhasrat mengisi kekosongan jawatan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang ditinggalkan Wong Choong Hann.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, beliau belum bersedia menggalas jawatan itu atau mana-mana jawatan sepenuh masa di BAM melihat kepada tanggungjawabnya dalam program Road To Gold (RTG) dan ahli jawatankuasa di Majlis Sukan Negara (MSN).

"Saya tak akan terima (mana-mana jawatan). Saya tak sedia untuk pegang jawatan ini (pengarah kejurulatihan perseorangan), sebab sekarang ini jawatan saya memang tak mudah.

"Untuk sementara ini saya memang tak fikir untuk jadi jurulatih, saya tak sedia untuk jawatan BAM,” katanya kepada Bernama apabila dihubungi baru-baru ini.

Chong Wei berkata demikian sebagai mengulas pandangan pelbagai pihak termasuk bekas pemain beregu negara Tan Boon Heong semalam bahawa kekosongan jawatan itu layak diisi olehnya.

Bagaimanapun, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu berkata, beliau sentiasa bersedia membantu BAM yang sebelum ini telah membentuknya sehingga menjadi seorang legenda badminton.

Chong Wei yang merupakan antara panel penasihat teknikal di BAM berkata, beliau akan berusaha memberi khidmat nasihat dalam menambah baik prestasi pemain negara.

"Selama 19 tahun saya bersama BAM tidak akan saya lupa. Kalau persatuan itu perlu bantuan, saya mesti tolong, tapi bantu sahaja, 100 peratus dan bila-bila masa sahaja, tapi untuk sepenuh masa di BAM tak boleh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati BAM supaya mencari individu yang tepat bagi menggantikan Choong Hann memandangkan sekarang adalah tempoh kelayakan untuk ke temasya Sukan Olimpik 2024.

"Bila Choong Han letak jawatan bukan senang kita nak cari pengganti, sekarang adalah waktu getir untuk Olimpik dan BAM perlu bertindak cepat mencari orang yang tepat bagi isi jawatan itu,” katanya.

Semalam, BAM dilaporkan telah memulakan proses pencarian pengganti Choong Hann, 46, yang meletak jawatan sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan minggu lepas sekali gus menamatkan tempoh perkhidmatan hampir lima tahun bersama badan induk itu. - Bernama