Mayat tanpa kepala, tangan dipercayai dibaham buaya - Polis

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PAPAR - Mayat wanita yang ditemukan tanpa kepala dan kedua belah tangan di Sungai Kampung Sapat, di sini pada Khamis lalu dipercayai akibat dibaham buaya.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, keadaan anggota badan yang tidak sempurna juga menyukarkan proses untuk mengenal pasti identiti mangsa.

"Setakat ini kita belum dapat kenal pasti sepenuhnya identiti mangsa kerana keadaan mangsa yang tidak sempurna.

"Kepala tiada, kedua belah tangan tiada serta kaki kirinya juga tiada, jadi memang tidak dapat cam identiti mangsa.

"Dipercayai kehilangan anggota badan mangsa adalah disebabkan dibaham buaya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Sehubungan itu, Kamaruddin berkata, mayat mangsa berkenaan sehingga kini masih belum dituntut.

Sinar Harian pada Khamis lalu melaporkan mayat dianggarkan berusia antara 30 hingga 40 tahun itu ditemukan terapung dan tersangkut pada ranting pokok kayu di tepi sungai berkenaan.

Mayat juga ditemukan dalam keadaan tidak berbaju dan hanya kaki kanan yang tinggal iaitu bahagian paha ke paras lutut manakala selebihnya hilang.

Pihak polis sebelum ini turut meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau rakan diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar untuk tujuan pengecaman mayat.