Wanita nyaris maut kereta dirempuh treler

Tangkap layar video kejadian kereta Perodua Alza dipandu mangsa dirempuh treler di Jalan Seremban-Kuala Pilah (Bukit Putus), berhampiran kolam memancing Paroi pada Rabu.
Tangkap layar video kejadian kereta Perodua Alza dipandu mangsa dirempuh treler di Jalan Seremban-Kuala Pilah (Bukit Putus), berhampiran kolam memancing Paroi pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang wanita nyaris maut selepas kereta Perodua Alza dipandunya dirempuh sebuah treler di Jalan Seremban-Kuala Pilah (Bukit Putus), berhampiran kolam memancing Paroi pada Rabu.

Rakaman video berdurasi 25 saat yang memaparkan kejadian itu turut tular di Facebook.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mangsa berusia 47 tahun ketika itu memandu seorang diri terselamat, begitu juga pemandu treler.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler jenis Volvo yang dipandu lelaki berusia 42 tahun sedang bergerak dari arah Bahau menuju ke Pelabuhan Klang.

"Apabila tiba di lokasi kejadian yang berbentuk selekoh menuruni bukit, treler tersebut hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kenderaan dipandu mangsa," katanya.

Menurutnya, kedua-dua mereka tidak mengalami kecederaan dan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Muhamad Alif Ab Jalil di talian 018-2029479 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 06-6033222 bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59)," katanya.