Lelaki bunuh ibu kerana harta mati dalam penjara

Nathan (kiri) membunuh ibunya di tengah laut pada 2016 dan cuba menipu syarikat yang menginsuranskan botnya. - Agensi
Nathan (kiri) membunuh ibunya di tengah laut pada 2016 dan cuba menipu syarikat yang menginsuranskan botnya. - Agensi
A
A
A

MONTPELIER - Seorang lelaki dari Vermont, Amerika Syarikat (AS) yang menunggu perbicaraan kerana didakwa membunuh ibunya di tengah laut dalam usaha untuk membolot harta pusaka keluarga dilaporkan meninggal dunia di dalam penjara.

Mayat Nathan Carman yang sepatutnya dibicarakan pada Oktober ini ditemui oleh pegawai penjara yang membuat rondaan berhampiran selnya di Keene, New Hampshire sekitar jam 2.30 pagi (waktu tempatan) pada Khamis.

Menurut kenyataan Jabatan Koreksional Cheshire, punca kematian pemuda berusia 29 tahun itu masih disiasat dan menegaskan Nathan adalah satu-satunya banduan yang ditahan di dalam sel berkenaan.

Nathan pada tahun lalu mengaku tidak bersalah terhadap lapan pertuduhan termasuk penipuan dan pembunuh tahap pertama dalam kematian ibunya, Linda Carman.

Dia dituduh membunuh ibunya dengan cara menenggelamkan bot dinaiki bersama mangsa ketika memancing ikan di luar Rhode Island pada 2016.

Mayat wanita malang itu tidak pernah ditemui.

Selain ibu, Nathan turut didakwa menembak mati datuknya, John Chakalos pada 2013.

Pembunuhan itu sebagai sebahagian daripada komplot untuk mendapatkan wang dan harta daripada estet Chakalos serta dana amanah keluarga yang berkaitan dianggarkan berjumlah AS$7 juta (RM32 juta).

Nathan sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa dia tiada kaitan dengan kematian ibu dan datuknya. - Agensi