KDA FC, Lira Sousa capai persetujuan berpisah

Lira Sousa (dua dari kiri) ketika penampilan terakhirnya bersama KDA FC meraikan kemenangan 3-0 ke atas Perak FC pada saingan Liga Super 2023. - Foto: KDA FC
Lira Sousa (dua dari kiri) ketika penampilan terakhirnya bersama KDA FC meraikan kemenangan 3-0 ke atas Perak FC pada saingan Liga Super 2023. - Foto: KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC dengan berat hati terpaksa melepaskan penyerang importnya, William Lira Sousa selepas beberapa perbincangan mendalam dilakukan di antara kedua pihak.

Kelab tersebut dalam kenyataannya berkata, mereka menghormati keputusan pemain Brazil itu untuk membawa haluan berbeza dalam tempoh pertengahan Liga Super 2023 ketika nisbah jaringannya cukup baik dalam setiap perlawanan.

Menurutnya, walaupun penampilannya di awal musim menerima pelbagai reaksi kurang senang, namun dia bangkit membuktikan ketajaman di depan gawang lawan dengan membantu Sang Kenari mencipta kemenangan.

"Lira Sousa merupakan penjaring terbanyak Sang Kenari dalam kancah Liga Super setakat 14 perlawanan dengan 8 gol.

"Ketahanan fizikal, sentiasa bersedia beraksi dalam setiap perlawanan menterjemahkan sikap profesionalnya di dalam dan luar padang. Kemana sahaja anda selepas ini, ingatlah anda selamanya Sang Kenari," katanya pada Jumaat.

Dikhabarkan Lira Sousa bakal membawa haluan bersama kelab lain di Thailand namun tiada sebarang pengesahan berhubung perkara itu setakat Ini.

Bagi pengganti Lira di Darul Aman pula, KDA FC juga masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi berkenaan perkara tersebut biarpun mengakui tiga pemain baharu sedang berada di dalam radar mereka.