Skuad para Malaysia terus konsisten sumbang pingat

Khairul Hazwan (kanan) dan Khairul Adha meraih pingat perak acara 1km ujian masa lelaki B ACC 2023. - Foto Bernama
Khairul Hazwan (kanan) dan Khairul Adha meraih pingat perak acara 1km ujian masa lelaki B ACC 2023. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD berbasikal para negara sekali lagi menampilkan prestasi cemerlang apabila menyumbang satu pingat emas, dua perak dan dua gangsa pada hari kedua Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan pada Khamis.

Nur Suraiya Muhamad Zamri yang dibantu Farina Shawati Adnan berjaya membawa pulang emas selepas muncul juara acara 1 kilometer (km) ujian masa wanita B dengan catatan satu minit dan 12.501 saat (s).

"Syukur Alhamdulillah kerana saya dapat menyumbang pingat emas buat Malaysia hari ini. Terima kasih kepada Farina yang banyak membantu saya dalam perlumbaan.

"Kejayaan ini cukup bermakna buat diri saya kerana ia dicapai di tempat sendiri. Dengan meraih pingat emas ACC, saya harap dapat meraih lebih banyak kejayaan selepas ini," kata Nur Suraiya.

Dari kiri, Nur Suraiya, Farina Shawati, Nurul Syuhada dan Nur Azlia Syafinaz menunjukkan pingat emas dan perak yang dimenangi mereka dalam acara 1km ujian masa wanita B ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai pada Khamis. - Foto Bernama
Dari kiri, Nur Suraiya, Farina Shawati, Nurul Syuhada dan Nur Azlia Syafinaz menunjukkan pingat emas dan perak yang dimenangi mereka dalam acara 1km ujian masa wanita B ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai pada Khamis. - Foto Bernama

Seorang lagi pelumba negara, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais yang dibantu Nurul Syuhada Zainal pula meraih perak selepas merekodkan masa 1:12.704s, manakala gangsa menjadi milik wakil dari Indonesia, Sri Sugiyanti (1:16.740s).

Saingan 1km ujian masa lelaki B pula menyaksikan Mohd Khairul Hazwan Wahab yang dibantu Muhammad Khairul Adha Rasol masih boleh berbangga apabila meraih pingat perak selepas merakamkan masa 1:04.530s.

"Memang tak sangka dapat pingat perak kerana saya sedar saingan sengit daripada pelumba lain. Sukar nak gambarkan perasaan saya sekarang, memang saya tak sangka," jelas Mohd. Khairul.

Pelumba Jepun, Kazuhei Kimura menyambar emas dengan catatan masa 1:03.546s, manakala wakil Iran, Mohammad Dalir Heidarabadi yang mencatat 1:05.361s meraih gangsa.

Dua pingat gangsa Malaysia hadir menerusi sumbangan Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dalam acara scratch lelaki C1-C3 dan Zuhairi Ahmad Tarmizi (scratch lelaki C5).

Pada hari pembukaan ACC 2023, skuad para berjaya membawa pulang satu emas dan satu perak yang mana gandingan Mohd Khairul, Muhammad Khairul Adha Rasol, Nur Suraiya dan Farina Shawati menjuarai acara tandem berpasukan campuran.

Trio Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin, Zuhairi Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hafiz Jamali pula menyambar perak menerusi acara pecut berpasukan lelaki.