Rekrut GSDF Jepun sebabkan 2 maut dirujuk kepada pendakwa raya

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

TOKYO - Seorang rekrut Pasukan Pertahanan Diri Darat (GSDF) dirujuk kepada pendakwa raya pada Khamis kerana disyaki membunuh, sehari selepas menembak tiga tenaga pengajar semasa latihan menembak peluru hidup di tengah Jepun, dengan dua daripadanya maut, lapor Xinhua.

Rekrut lelaki berusia 18 tahun itu ditahan di lokasi selepas didakwa melepaskan tembakan ke arah tiga anggota GSDF semasa latihan dalaman di lapang sasar di wilayah Gifu pada pagi Rabu.

Insiden itu menyebabkan seorang pengajar berusia 52 tahun dan seorang lelaki berusia 25 tahun maut dan seorang lagi lelaki berusia 25 tahun dimasukkan ke hospital, menurut polis.

Sumber penyiasatan berkata, suspek memberitahu polis bahawa dia menyasarkan lelaki berusia 52 tahun itu dan "tidak berniat" untuk membunuh mangsa lain yang menghalang laluannya dengan mangsa.

Sesi latihan itu melibatkan kira-kira 120 petugas, termasuk kira-kira 70 rekrut dalam sesi latihan untuk mereka memperoleh kepakaran menggunakan senapang serangan yang biasa digunakan.

Menurut GSDF, ia merupakan latihan kelima dan terakhir bagi suspek

Maklumat lanjut, termasuk hubungan peribadi antara rekrut dan mangsa, sedang disiasat.

Pada sidang akhbar pada hari kejadian, ketua turus GSDF Jeneral Yasunori Morishita berkata, pelatih itu menyertai pasukan itu pada April dan merupakan anggota dalam rejimen yang sama dengan tiga staf kanan yang bertanggungjawab dalam latihan berkenaan.

"Sebagai organisasi yang mengendalikan senjata, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku," kata Morishita. - Bernam-Xinhua