Pelajar IPT dalang kes tetak, samun 70 IPhone ditahan

Ahmad Adnan menunjukkan rampasan barang kes antaranya 23 unit telefon bimbit jenama IPhone dengan tertangkapnya seorang lelaki pada Selasa.
Ahmad Adnan menunjukkan rampasan barang kes antaranya 23 unit telefon bimbit jenama IPhone dengan tertangkapnya seorang lelaki pada Selasa.
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) ditahan selepas didapati mendalangi kes tetak dan samun melibatkan 70 telefon bimbit jenama IPhone bernilai RM300,000 di Kompleks Menara Condong di sini April lalu.

Lelaki warga tempatan berusia 21 tahun itu diberkas dalam satu serbuan di sebuah kondominium Jalan Perda Barat, Bukit Mertajam, Pulau Pinang sekitar 12.05 tengah hari pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, menerusi tangkapan itu, polis merampas 23 unit telefon bimbit jenama IPhone, satu unit jam tangan Apple Watch, satu unit iPad dan dua pen tablet jenama Samsung.

Menurutnya, turut dirampas, satu beg pakaian, sekeping kad touch n go, kunci, sebuah kereta jenis Proton dan wang tunai RM834.

"Suspek masih bujang, tidak bekerja dan masih lagi menuntut di sebuah IPT di Pulau Pinang.

"Soal siasat dijalankan, suspek mengaku terlibat dalam kes itu bersendirian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, semakan rekod menunjukkan suspek mempunyai satu kesalahan lampau berkaitan jenayah.

Katanya, suspek telah direman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.

"Dengan tertangkapnya suspek ini, polis berjaya menyelesaikan kes samun berkenaan," katanya.

Dalam kejadian samun 3 April lalu, seorang pengawal keselamatan cedera di kepala selepas ditetak seorang lelaki menggunakan kapak.

Suspek turut bertindak mengunci mangsa dari luar tandas dan memecah masuk sebuah kedai telekomunikasi sebelum melarikan lebih 70 telefon bimbit jenama IPhone.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!