PRN: Kedah cadang bubar DUN 28 Jun ini

Sanusi
Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah bercadang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 28 Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah untuk mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran pada 25 Jun ini.

Menurutnya, selepas mendapat perkenan Sultan Kedah, pengumuman tarikh pembubaran DUN Kedah akan dilakukan secara rasmi.

“Saya perlu dapatkan perkenan Tuanku Sultan Kedah terlebih dahulu berhubung cadangan daripada kerajaan negeri untuk bubar DUN pada 28 Jun.

“Sekiranya baginda tidak beri perkenan terhadap tarikh cadangan itu, mungkin mahu diawalkan atau dilewatkan daripada tarikh tersebut, sebab ada lagi beberapa hari sebelum tempoh matang. Terserah kepada Tuanku, cadangan kita sudah kemukakan dan akan diumum secara rasmi selepas Tuanku perkenankan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan khemah, meja dan kerusi kepada Majlis Ketua Kampung (MKK) bawah Program Sejahtera Komuniti 2023 di Wisma Darul Aman pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, pembubaran bagi setiap negeri yang akan berlangsung PRN tidak semestinya sama, namun yang penting adalah hari pengundian diadakan serentak.

“Pembubaran DUN terpulang kepada negeri masing-masing sama ada serentak atau tidak, sementara tarikh mengundi kita serahkan pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan. Itu kerja SPR, bukan kita,” ujarnya.

Menurutnya, tarikh pengundian akan ditetapkan oleh SPR dalam tempoh 60 hari selepas kesemua enam negeri membubarkan DUN masing-masing.

“Setiap negeri tempoh matang tidak sama, contohnya di Kelantan pada 26 Jun, Pulau Pinang 1 Ogos dan Kedah pula 4 Julai.

“Dalam tempoh 60 hari SPR perlu tentukan tarikh penamaan calon, pengundian awal, pengundi pos serta undi biasa,” jelasnya lagi.