'Kalih bagi sama' - Mohamad

Mohamad ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Mohamad ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan usaha meningkatkan hasil padi di Kedah bagi mengurangkan kebergantungan pada beras import akan lebih mudah sekiranya pentadbiran kerajaan negeri itu sama dengan kerajaan Persekutuan.

Sambil memberi bayangan Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal diadakan pada Ogos nanti, Mohamad menyarankan agar rakyat negeri Jelapang Padi itu untuk 'kalih (tukar) bagi sama'.

"Hasrat Kedah dan hasrat kerajaan Persekutuan (meningkatkan hasil padi) sama, biarlah kita kalih bagi sama.

"Kalih bagi sama ini kena fahamlah, lagi dua bulan (PRN) kita kalih bagi sama, maka ia mudah lagi (untuk dilaksanakan)," katanya ketika waktu pertanyaa menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang bertanya sama ada kerajaan Pesekutuan akan menyokong kerajaan negeri untuk meningkatkan pengeluaran padi dengan menaikkan subsidi baja, racun dan benih selain meningkatkan harga.

Dalam pada itu Mohamad menjelaskan, kerajaan Persekutuan berhasrat untuk melaksanakan inisiatif Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), selain mempertimbang subsidi dari semasa ke semasa.

Pada masa sama, Mohamad turut menyarankan petani di Malaysia untuk mencontohi petani di Indonesia yang berjaya menghasilkan padi yang mencukupi kepada kira-kira 300 juta populasi negara itu.

"Di Indonesia, penanam padi dapat subsidi hanya satu peratus, tetapi petaninya berjaya menghasilkan padi hingga mencukupi untuk penduduk Indonesia berjumlah 300 juta. Berasnya cukup, kadar sara diri (SSR) cukup.

"Subsidi kita akan teruskan, tetapi kena mula berlaku perubahan dengan meneliti bahagian mana perlu diteruskan subsidi, di mana yang perlu dikurangkan," katanya.