Polis siasat video tular dakwa perbuatan kejam tangkap monyet
GOMBAK - Polis menjalankan siasatan berhubung video tular memaparkan aktiviti menangkap monyet liar di kawasan pinggir hutan berhampiran taman perumahan di Batu Caves di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, video tular berdurasi 52 saat tersebut dikesan kira-kira jam 7 petang.
"Satu laporan diterima pihak polis pada 13 Jun kira-kira jam 3.30 petang berkaitan kerja-kerja menangkap monyet liar yang telah merosakkan harta benda penduduk.
"Siasatan mendapati kerja-kerja tersebut dijalankan oleh kakitangan Pejabat Perhilitan Hulu Selangor setelah menerima aduan oleh pihak Persatuan Penduduk itu sendiri," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, aduan dibuat berkaitan sekumpulan monyet liar didakwa mengganggu serta merosakkan harta benda penduduk.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh mengelirukan dan menjejaskan ketenteraman awam," katanya.
Pada Rabu, tular video di laman sosial Facebook yang dipercayai dimuat naik oleh seorang individu mendakwa terdapat kerja-kerja menangkap beberapa monyet liar di sebuah kawasan di Batu Caves.
Tindakan tersebut didakwa oleh individu berkenaan disifatkan zalim dan tidak berperikemanusiaan.
Individu tersebut turut didakwa mempertikaikan tindakan yang diambil oleh beberapa kakitangan Jabatan Perhilitan ketika mereka menjalankan tugas ketika kejadian.