Penerima STR nikmati Skim Perubatan Madani


Dr Zaliha
Dr Zaliha
A
A
A

PUTRAJAYA - Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menikmati Skim Perubatan Madani bermula 15 Jun sehingga 31 Disember ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif tersebut merupakan program perantis yang diadakan di 10 buah daerah.

Ia melibatkan daerah Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling (Selangor), Kuala Lumpur, Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).

Menurutnya, skim tersebut bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan B40, terutama dalam mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut iaitu rawatan pesakit luar kes-kes akut di premis pengamal perubatan swasta umum (GP).

"Skim ini ditawarkan secara automatik kepada penerima STR," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, perkhidmatan percuma yang ditawarkan adalah seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan akan diberikan di GP kepada penerima manfaat mengikut pakej yang ditentukan.

"Penerima manfaat boleh mendapat beberapa kali rawatan percuma sehingga peruntukan bagi setiap isi rumah telah habis," ujarnya.

Kata Dr Zaliha, peruntukan bagi setiap isi rumah adalah sehingga RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, RM125 bagi warga emas tanpa pasangan dan RM75 bagi kategori bujang.

"Rawatan pesakit luar kes-kes akut percuma yang ditawarkan skim ini merangkumi rawatan bagi demam selesema, cirit birit, muntah, terseliuh, sakit kepala, trauma ringan dan pelbagai lagi.

"Pakej rawatan skim ini tidak merangkumi rawatan bukan akut imunisasi rutin, saringan kesihatan, rawatan susulan penyakit tidak berjangkit (NCD), rawatan susulan ibu dan anak, perancangan keluarga, perkhidmatan rehabilitasi; serta permohonan ubat-ubatan dan suplemen tanpa konsultasi doktor," katanya.

Ujar beliau, perkhidmatan kesihatan bagi keadaan bukan akut yang tidak ditawarkan Skim Perubatan Madani boleh didapati di Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tambahnya lagi, fasa rintis skim berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 700,000 isi rumah dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

"Pra-pendaftaran adalah tidak diperlukan untuk menikmati manfaat Skim Perubatan Madani bagi penerima STR dan tanggungannya.

"Mereka hanya perlu membawa kad pengenalan semasa mendapat rawatan di GP yang berdaftar di bawah skim ini," katanya.

Dalam pada itu, kementerian melalui ProtectHealth menyasarkan sebanyak 700 GP untuk mendaftar sebagai panel Skim Perubatan Madani menjelang September 2023.

"Ketika ini sebanyak empat sesi penerangan dan latihan kepada GP telah dijalankan dan dijangka sebanyak 10 sesi lagi akan dijalankan bagi mencapai sasaran GP yang berdaftar untuk skim ini," ujar Dr Zaliha.

Maklumat lanjut mengenai Skim Perubatan Madani termasuk semakan kelayakan dan senarai klinik panel boleh didapati di laman sesawang ProtectHealth, selaku pelaksana skim berkenaan iaitu di www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani atau hubungi talian 03-8687 2525.