PETA dakwa petani Thailand aniaya monyet petik kelapa

PETA mendakwa petani Thailand menganiaya monyet petik kelapa digunakan menghasilkan produk santan. - Agensi
PETA mendakwa petani Thailand menganiaya monyet petik kelapa digunakan menghasilkan produk santan. - Agensi
A
A
A

BANGKOK - Pengeluar santan Thailand menggesa kerajaan mengupah pelobi bagi menangkis dakwaan dibuat Organisasi Hak Asasi Binatang (PETA) berhubung penganiayaan monyet oleh petani tempatan, lapor Bangkok Post.

Gesaan dibuat berikutan timbulnya kebimbangan mengenai reputasi santan Thailand sejak kempen PETA dianjurkan pada Julai 2020.

Sebelum ini, PETA mengulangi dakwaannya di Twitter bahawa anak monyet diculik dan dipaksa memetik kelapa dalam industri makanan di Thailand.

Akibatnya, santan buatan Thailand dialihkan dari rak kedai serbaneka dan pasar raya di negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Satu sumber mendedahkan industri santan Thailand mengalami kerugian besar apabila negara itu kehilangan 80 peratus pasaran global.

Bagaimanapun cubaan menonjolkan penggunaan mesin memunggut kelapa dan memperkenalkan persijilan 'Monkey Free Plus' tidak berjaya dalam menampung kerugian dalam industri tersebut.

Dalam satu pengumuman baru-baru ini penyedia makanan di AS, HelloFresh memutuskan menghentikan pembelian kelapa dari Thailand.

PETA turut menggesa pengeluar dan peruncit lain menghentikan pembelian santan dari Thailand sambil menekankan kebimbangan mengenai dakwaan berterusan eksploitasi monyet dalam industri makanan di Thailand. - AFP